Rusuhan pusat hiburan: Mahkamah Tinggi batal hukuman denda, arah 33 lelaki dipenjara 10 bulan

21 Apr 2026, 8:01 AM
Rusuhan pusat hiburan: Mahkamah Tinggi batal hukuman denda, arah 33 lelaki dipenjara 10 bulan

SHAH ALAM, 21 APRIL: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini, mengarahkan 33 lelaki terbabit dalam rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras pada 5 April lalu, menjalani hukuman penjara 10 bulan, sekali gus membatalkan hukuman denda sebelum ini yang diputuskan Mahkamah Majistret.

Hakim Datuk Aslam Zainuddin, yang menggunakan kuasa semakannya, menjatuhkan hukuman itu selepas mendengar hujahan daripada Pengarah Pendakwaan negeri, Datuk Mohd Nordin Ismail dan peguam bela, Damien Chan, lapor Berita Harian.

Hakim memerintahkan semua tertuduh menjalani hukuman penjara mereka bermula hari ini.

Hakim turut mengeluarkan waran tangkap terhadap seorang tertuduh, A Ganesan yang gagal hadir ke mahkamah.

Pada 10 April lalu, Mahkamah Majistret mendenda 34 lelaki selepas semua mereka mengaku bersalah menyertai rusuhan di sebuah pusat hiburan di Cheras pada 5 April, yang turut membabitkan senjata api dan bahan letupan.

Majistret Faezahnoor Hassan menjatuhkan hukuman denda RM3,000 kepada 32 tertuduh berusia antara 21 dan 57 tahun dan memerintahkan mereka menjalani hukuman penjara empat bulan jika gagal membayar denda.

Dua lagi, masing-masing berusia 19 tahun, dijatuhkan hukuman denda RM2,000 atau penjara tiga bulan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.