YANIS perkasa penjaga anak Cerebral Palsy melalui bengkel sokongan

22 Apr 2026, 12:00 AM
YANIS perkasa penjaga anak Cerebral Palsy melalui bengkel sokongan

SHAH ALAM, 22 APRIL: Program Di Sebalik Kekuatan Seorang Penjaga Anak Cerebral Palsy (CP) anjuran Yayasan Anak Istimewa Selangor (YANIS) bukan sekadar menyediakan bantuan, malah memperkasa ibu bapa dan penjaga melalui bengkel sokongan menyeluruh.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim berkata bengkel itu memberi tumpuan kepada aspek penting termasuk pengetahuan teknikal, senaman dan sokongan psikologi.

“Program ini bukan sekadar bantuan, sebaliknya kita mahu membantu ibu bapa mengurus tekanan emosi dan keletihan dalam menjaga anak istimewa. Pada masa sama, mereka turut dilengkapi dengan ilmu praktikal agar lebih bersedia menghadapi cabaran harian.

“Kerjasama antara YANIS dan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) seperti Taylor’s University termasuk penglibatan mahasiswa, mencerminkan komitmen masyarakat yang semakin cakna terhadap kepentingan penjagaan anak-anak CP,” katanya kepada Media Selangor.

Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Insan Istimewa Selangor (YANIS), Ar Kamarul Hisham Yeop Hashim. Foto Facebook YANIS

Menurut Kamarul Hisham, sambutan terhadap program itu amat memberangsangkan apabila berjaya menarik penyertaan peserta baharu meskipun YANIS baru dilancarkan pada Ogos tahun lalu.

Sehubungan itu, beliau mengalu-alukan lebih banyak jalinan kerjasama bersama institusi swasta bagi memperkukuh usaha membantu golongan anak istimewa ke arah masa depan yang lebih baik.

Program yang berlangsung pada 18 April lalu itu menghimpunkan 29 peserta dalam kalangan ibu bapa dan penjaga, mencerminkan komitmen serta keazaman mereka untuk memperkukuh daya tahan diri.

Ia turut menampilkan sesi perkongsian ilmiah oleh Pensyarah Kanan Fakulti Sains Sosial dan Pengurusan Rekreasi, Dr Sam Jeng Mun yang juga ahli psikologi klinikal berdaftar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.