Konflik global jejas hasil negeri, Selangor teliti strategi optimum hasil

21 Apr 2026, 5:01 AM
Konflik global jejas hasil negeri, Selangor teliti strategi optimum hasil

SHAH ALAM, 21 APRIL: Prestasi hasil negeri setakat ini berkurang kira-kira RM100 juta, berbanding perolehan direkodkan tempoh sama tahun lalu, kesan daripada konflik global yang berlaku di Asia Barat ketika ini.

Dato’ Seri Amirudin Shari berkata walaupun jumlah itu tidak memberi tekanan secara langsung, namun ia harus diperhalusi secara terperinci supaya keupayaan hasil negeri dapat dioptimumkan sekali gus mencapai RM2.8 bilion seperti disasarkan tahun ini.

“Walaupun kesan ini belum betul-betul mendekat ataupun memberikan tekanan secara langsung tetapi sudah mula berhati-hati khususnya libatkan bayaran premium tanah kerana ada beberapa rencana yang diberikan secara khusus dalam menangani hal ini secara tidak langsung.

“Kita meneliti perkembangan ini supaya dapat melihat kembali apakah hasil negeri dan keupayaan negeri mampu dioptimumkan sehingga kita mampu mencapai sasaran RM2.8 bilion sebagaimana yang dibentangkan dalam sesi belanjawan lalu,” katanya di sidang Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Amirudin berkata, peperangan Amerika Syarikat-Iran ini turut memberi kesan kepada sektor logistik, perkhidmatan, pembinaan serta pembuatan, justeru pentadbiran bakal membentang langkah mengatasinya menjelang pertengahan tahun ini.

“Ia bersekali pembentangan Rancangan Selangor Kedua (RS-2). Negeri akan menggerakkan atau merangka langkah supaya sektor dan industri ini yang menyumbang 60 peratus ekonomi negeri dapat bertahan lebih baik,” katanya.

Menerusi belanjawan tahun ini, Kerajaan Negeri menganggarkan hasil boleh dikutip berjumlah RM2.8 bilion, dengan premium tanah sebagai penyumbang utama sebanyak RM1.02 bilion, manakala penyumbang kedua terbesar ialah hasil cukai tanah sebanyak RM691.27 juta dan pemberian persekutuan berjumlah RM263.16 juta merupakan ketiga terbesar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.