SHAH ALAM, 21 APRIL: Kementerian Kewangan (MOF) memaklumkan tambahan bantuan tunai interim sebanyak RM100 mula disalurkan kepada penerima BUDI Diesel bermula hari ini.
MOF menerusi kenyataan di Facebook berkata, bantuan itu melibatkan penerima di bawah kategori BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi, sekali gus menjadikan jumlah keseluruhan bantuan kini RM400.
Inisiatif BUDI Diesel diperkenalkan bagi menyasar golongan yang terkesan secara langsung dengan kenaikan harga bahan api, khususnya individu dan pengusaha dalam sektor berkaitan.
Sebelum ini, kerajaan menambah baik subsidi diesel dengan meningkatkan kadar bantuan tunai BUDI Agri-Komoditi dan BUDI Diesel Individu daripada RM300 kepada RM400 untuk bulan ini.
Menurut Kementerian Kewangan, BUDI Agri-Komoditi dijangka memanfaatkan lebih 200,000 petani dan pekebun kecil dengan dana tambahan sekitar RM20 juta sebulan.
BUDI Diesel Individu pula memberi manfaat kepada kira-kira 150,000 pemilik kenderaan diesel individu di Semenanjung dengan dana tambahan sekitar RM15 juta sebulan.
Tambah kementerian, bantuan itu diharap dapat meringankan beban kos operasi serta perbelanjaan harian penerima.
Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut berhubung bantuan tersebut melalui laman sesawang rasmi di budidiesel.gov.my.







