SHAH ALAM, 20 APR: Lapan kawasan di daerah Petaling, Klang dan Kuala Selangor dilanda banjir kilat susulan hujan lebat lebih sejam petang tadi.
Jabatan Pengairan dan Saliran Selangor menerusi kenyataan bagaimanapun memaklumkan banjir di semua kawasan telah surut sejak jam 9 malam tadi.
Menurut agensi tersebut, daerah Petaling melibatkan TTDI Jaya; Jalan Kuala Selangor /Stesen KTM Sg Buloh FT54; Kampung Cempaka; Persiaran Sukan, Seksyen 13 Shah Alam dan Lorong Keluli 1c, Taman Perindustrian Bukit Raja Selatan.
Manakala, bagi daerah Klang pula di Lebuhraya Persekutuan FT 02/FT 20 persimpangan Bukit Raja susur ke i- City dan Lebuhraya Selat Klang FT 20 berhampiran pusat membeli-belah Aeon Bukit Raja.
Bagi daerah Kuala Selangor, kawasan dilanda banjir kilat di Jalan Titanium, Kawasan Industri Batu 22 Ijok. Tiada pusat pemindahan dibuka setakat ini.
Dalam pada itu, Unit Pengurusan Bencana Negeri Selangor memaklumkan pihaknya akan terus memantau dan membuat tindakan susulan tentang kejadian yang berlaku.









