Sultan Selangor arah tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah, berita palsu

20 Apr 2026, 4:47 AM
Sultan Selangor arah tindakan undang-undang terhadap penyebar fitnah, berita palsu

SHAH ALAM, 20 APRIL: Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor menegaskan tindakan undang-undang perlu diambil terhadap penyebar fitnah dan berita palsu, khususnya yang melibatkan institusi agama Islam.

Seiring itu, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menitahkan pihak berkuasa agama dan polis bertindak lebih peka dan pantas dalam menangani sebarang laporan berkaitan isu tersebut.

“Kepada rakyat Beta, Beta berpesan agar tidak sewenang-wenangnya melemparkan sebarang fitnah dan tohmahan serta menyebarkan berita palsu terhadap mana-mana pihak terutama kepada pihak institusi agama Islam Selangor.

“Tindakan yang tidak bertanggungjawab ini boleh merosakkan nama baik institusi agama Islam dan boleh menyebabkan hilangnya kepercayaan umat Islam terhadap institusi agama yang diterajui oleh Beta sendiri,” titah Baginda.

Baginda bertitah demikian sempena Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Dewan Negeri Selangor (DNS) ke-15 yang berlangsung di Dewan Negeri Selangor di sini hari ini.

Turut berangkat, DYMM Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Hajah Norashikin dan Duli Yang Teramat Mulia (DYTM) Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah.

Dalam pada itu, Baginda menasihatkan rakyat agar menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum menyebarkannya, bagi mengelakkan kekeliruan serta salah faham yang boleh dimanipulasi pihak tertentu.

Pada 28 Januari lalu, Sultan Sharafuddin pernah mengingatkan bahawa budaya fitnah dan penyebaran tohmahan, khususnya melalui media sosial, bukan sahaja bercanggah dengan ajaran Islam malah berpotensi merosakkan perpaduan umat.

"Janganlah ada dalam kalangan anda yang gemar menyebarkan berita tidak benar, memutarbelitkan fakta atau membesar-besarkan perkara kecil sehingga menimbulkan rasa tidak senang hati dalam kalangan ahli kariah dan masyarakat.

"Perkara ini tidak boleh dipandang ringan kerana jika tersilap langkah boleh menimbulkan perbalahan dalam kalangan masyarakat," titah Baginda.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.