KUALA LUMPUR, 19 APRIL: Seorang tahanan warga Pakistan yang melarikan diri dari Penjara Sungai Buloh pada 9 April lepas berjaya ditahan polis semalam.
Ketua Polis Selangor Datuk Shazeli Kahar dalam kenyataan berkata lelaki terbabit ditahan di Jalan Batu 14, Jalan Gombak Lama, Selangor pada 5 petang.
Beliau merakamkan penghargaan atas kerjasama semua pihak yang membantu sehingga lelaki itu berjaya ditangkap semula bagi memastikan keselamatan serta ketenteraman awam terus terpelihara.
Dalam kejadian pada 9 April lepas, lelaki dikenali sebagai Muhammad Hassan, 24, itu meloloskan diri daripada kawalan polis di Padang Kawad Penjara Sungai Buloh kira-kira 6 petang selepas menghadiri prosiding perbicaraan di Mahkamah Shah Alam.
Lelaki itu ditahan atas kesalahan seksual terhadap kanak-kanak yang disiasat mengikut Seksyen 377C dan Seksyen 392 Kanun Keseksaan, Seksyen 14 (d) dan (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 serta Seksyen 15 (1) (c) Akta Imigresen 1959/63.








