PM: Bantuan segera diselaras bantu mangsa kebakaran di Sandakan

19 Apr 2026, 5:12 AM
PM: Bantuan segera diselaras bantu mangsa kebakaran di Sandakan
PM: Bantuan segera diselaras bantu mangsa kebakaran di Sandakan

SHAH ALAM, 19 APRIL: Kerajaan Persekutuan bersama Kerajaan Negeri Sabah menyelaraskan bantuan asas dan penempatan sementara bagi mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tindakan segera sedang diambil bagi memastikan kebajikan mangsa terjamin selepas kejadian yang memusnahkan ratusan rumah itu.

Beliau mengakui terkesan apabila menerima laporan mengenai kebakaran yang melanda perkampungan atas air berkenaan pagi tadi.

“Justeru, keutamaan kini adalah keselamatan mangsa serta bantuan segera di lapangan,” katanya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Kebakaran tersebut dilaporkan memusnahkan kira-kira 200 rumah, sekali gus menyebabkan ramai penduduk kehilangan tempat tinggal.

Dalam usaha membantu mangsa, sebuah Pusat Pemindahan Sementara (PPS) telah diaktifkan di Dewan PPR Batu Sapi pada jam 7 pagi tadi.

Langkah itu bertujuan menyediakan perlindungan sementara kepada penduduk terjejas sementara bantuan lain disalurkan.

Sebelum ini Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sandakan, Jimmy Lagung berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada 1.32 pagi.

Seramai 35 anggota bomba dari BBP Sandakan dan Kinabatangan dikejarkan ke lokasi bagi menjalankan operasi pemadaman kebakaran.

Beliau berkata faktor angin kencang serta kedudukan rumah yang rapat menyebabkan api merebak dengan pantas, sekali gus memusnahkan sebahagian besar kediaman di kawasan berkenaan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.