Tragedi Kampung Bahagia: Bantuan RM300 murid terjejas dikredit ke sekolah

23 Apr 2026, 3:16 AM
Tragedi Kampung Bahagia: Bantuan RM300 murid terjejas dikredit ke sekolah

PUTRAJAYA, 23 APRIL: Bantuan khas RM300 bagi setiap murid warganegara yang terjejas akibat insiden kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan telah dikreditkan terus ke akaun sekolah bagi memastikan keperluan persekolahan mereka dapat dipenuhi segera.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata pihak sekolah akan melaksanakan agihan bantuan tersebut kepada murid bagi kegunaan membuat persediaan kelengkapan persekolahan.

Beliau berkata murid yang terjejas turut diberikan kelonggaran dalam pemakaian pakaian seragam sekolah.

"Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Sabah dan Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) Sandakan telah diminta untuk memenuhi keperluan murid termasuk bantuan pengangkutan ke sekolah. Sokongan psikososial juga disediakan untuk murid, guru dan warga pendidikan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Fadhlina berkata Kementerian Pendidikan (KPM) berusaha memastikan bantuan terbaik dapat disalurkan kepada semua murid terjejas dan memberi perhatian kepada aspek kebajikan serta kesejahteraan mereka.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melawat mangsa kebakaran di Kampung Bahagia, Sandakan, Sabah pada 22 April 2026. Foto PEJABAT PERDANA MENTERI MALAYSIA

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan lawatan ke Sabah semalam, bagi menyantuni mangsa terjejas akibat tragedi kebakaran besar itu dan mengumumkan bantuan bernilai RM300 diberikan kepada 454 murid warganegara Malaysia daripada 12 sekolah yang terjejas, melalui KPM.

Pada Ahad lepas, kebakaran besar di perkampungan atas air itu memusnahkan kira-kira 1,000 rumah dan melibatkan kawasan seluas lebih empat hektar.

Kebakaran di perkampungan atas air Kampung Bahagia, Sandakan pada 19 April 2026 yang memusnahkan 1,000 rumah. Foto Facebook BERNAMA

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.