Laman mini tanaman di masjid tarik minat kariah berkebun di rumah

18 Apr 2026, 5:35 AM
Laman mini tanaman di masjid tarik minat kariah berkebun di rumah
Laman mini tanaman di masjid tarik minat kariah berkebun di rumah
Laman mini tanaman di masjid tarik minat kariah berkebun di rumah
Laman mini tanaman di masjid tarik minat kariah berkebun di rumah
Laman mini tanaman di masjid tarik minat kariah berkebun di rumah

SHAH ALAM, 18 APRIL: Program perintis laman mini tanaman aromatik di Masjid Tengku Ampuan Jemaah (MTAJ), Bukit Jelutong menjadi pencetus minat ahli kariah untuk berkebun di kawasan kediaman.

Antara tanaman yang terdapat di laman mini masjid itu ialah selasih, ulam raja, cekur, lemuju, bayam Brazil, sambung nyawa, cili dan kunyit, yang mudah dijaga serta sesuai dijadikan ulam atau bahan masakan harian.

Inisiatif itu diilhamkan ahli kariah MTAJ, Alias Saad yang mahu berkongsi ilmu serta pengalaman dalam bidang pertanian dengan komuniti setempat.

Beliau berkata projek berkenaan bermula dengan konsep mudah iaitu membangunkan model pertanian moden yang praktikal dan boleh diamalkan semua lapisan masyarakat.

Menurutnya, walaupun hanya menggunakan petak kecil kira-kira 3.5 kaki persegi, laman tersebut mampu mempamerkan pelbagai teknik asas penanaman.

“Kita faham masyarakat hari ini mempunyai masa terhad, jadi pendekatan yang digunakan ringkas, mudah dan terus boleh diamalkan.

“Fokus utama adalah kepada asas seperti cahaya matahari, air, tanah dan pemilihan tanaman,” katanya ketika ditemu Media Selangor.

Alias Saad

Laman santai yang menempatkan tiga petak tanaman itu bukan sahaja menjadi kawasan bercucuk tanam, malah berfungsi sebagai ruang interaksi komuniti.

Setiap Sabtu dan Ahad selepas kuliah subuh, lokasi berkenaan menjadi tempat ahli kariah berkumpul, bertukar pandangan serta menimba ilmu berkaitan pertanian.

Alias berkata inisiatif itu turut memberi manfaat kepada golongan pesara dan suri rumah untuk mengisi masa dengan aktiviti berfaedah.

Katanya, usaha tersebut juga membantu mengurangkan kos perbelanjaan dapur melalui penanaman keperluan harian sendiri.

Suraya Ibrahim

Sementara itu, jemaah muslimat, Suraya Ibrahim berkata projek berkenaan membuka mata ramai mengenai kepentingan ilmu asas pertanian.

“Dulu kita tidak kenal jenis pokok, sekarang bukan sahaja tahu nama, malah boleh tanam sendiri.

“Ambil daun yang perlu sahaja, pokok akan terus hidup dan segar,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan diperkenalkan membuktikan pertanian tidak memerlukan kawasan luas atau teknik kompleks, sebaliknya memadai dengan minat dan asas yang betul.

Usaha itu diharap dapat diperluaskan ke masjid lain sebagai model pertanian komuniti yang menyumbang kepada kelestarian makanan serta mengeratkan hubungan masyarakat melalui gaya hidup sihat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.