SHAH ALAM, 18 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka kertas siasatan terhadap seorang individu yang didakwa menyebarkan berita palsu berhubung pembekalan bahan api diesel ke Filipina.
Pihak berkuasa mengesahkan diesel berkenaan adalah milik syarikat perdagangan Vitol dan bukan milik Petronas atau kerajaan.
Menurut SKMM, individu terbabit telah dipanggil untuk memberi keterangan pada Jumaat lalu.
“Individu tersebut telah dipanggil untuk memberi keterangan dan peranti komunikasi yang digunakan turut disita bagi membantu siasatan lanjut,” menurut kenyataan media.
Siasatan dijalankan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“SKMM memandang serius penyalahgunaan platform media sosial dan digital untuk menyebarkan maklumat tidak sahih yang boleh mengelirukan orang ramai,” katanya.
Dalam masa sama, tindakan penguatkuasaan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang serta menjejaskan ketenteraman awam.








