KULAI, 11 JULAI: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) menerima 29 aduan berkaitan kandungan dalam talian membabitkan berita palsu, ucapan kebencian dan penipuan sepanjang tempoh kempen bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor ke-16.
Timbalan Menteri Komunikasi Teo Nie Ching berkata daripada jumlah itu, sebanyak 17 aduan berkaitan penyebaran berita palsu manakala 11 lagi melibatkan ucapan kebencian dan satu aduan akaun palsu serta penyamaran.
“Sembilan kes ucapan kebencian melibatkan isu perkauman manakala masing-masing satu kes berkaitan agama dan institusi diraja yang dikategorikan sebagai kandungan berunsur 3R (kaum, agama dan institusi diraja),” katanya selepas mengundi di Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Kulai Besar di sini hari ini.
Sehubungan dengan itu, Teo menggesa orang ramai khususnya pengundi supaya lebih berwaspada terhadap penyebaran maklumat tidak sahih dan tidak mudah terperdaya dengan berita palsu atau kenyataan berunsur kebencian.
“Jadilah netizen dan pengundi yang celik digital supaya kita dapat menggunakan kuasa sebagai pengundi dengan bijaksana,” katanya.
Dalam pada itu, Teo yang juga Ahli Parlimen Kulai merakamkan penghargaan kepada semua petugas pilihan raya yang bertugas bagi memastikan proses pengundian PRN Johor berjalan lancar.
PRN Johor ke-16 menyaksikan sebanyak 172 calon bertanding bagi merebut 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), yang bakal ditentukan oleh lebih 2.6 juta pemilih berdaftar hari ini.
Bagi mendapatkan berita terkini mengenai PRN Johor ke-16, layari https://prn.bernama.com/johor.






