SEPANG, 18 APRIL: Sebanyak 284 jemaah haji Malaysia berlepas ke Tanah Suci awal pagi ini, menandakan bermulanya musim haji bagi 1447H/2026M.
Kumpulan pertama itu berlepas dari Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 4.05 pagi menaiki pesawat Malaysia Airlines MH8050 dan dijangka tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Putera Mohammad Bin Abdulaziz, Madinah pada 7.50 pagi waktu tempatan (Arab Saudi), hari yang sama.
Mereka terdiri daripada 141 jemaah yang berlepas dari stesen Alor Setar di Kedah dan 143 jemaah dari stesen Sepang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan berkata beliau amat bersyukur dapat meluangkan masa menyantuni dhuyufurrahman (tetamu Allah) yang merupakan kumpulan pertama berangkat ke Tanah Suci bagi menunaikan Rukun Islam kelima itu.
"Setelah kita merancang dan mengadakan pelbagai inisiatif serta program untuk mempersiapkan jemaah haji kita, Alhamdulillah tahun ini perjalanannya sangat baik. Semua jemaah haji melalui satu program yang begitu menyeluruh bukan hanya dari aspek hukum-hakam tetapi juga kesihatan, pemahaman terhadap syariat haji dan sebagainya.
"Jadi pagi ini kita akan membuat pelepasan kepada 284 jemaah haji kita. Alhamdulillah, Duta Besar Arab Saudi ke Malaysia Osamah Dakhel R Al-Ahmadi turut serta untuk meraikan pelepasan jemaah haji Malaysia," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Mengucapkan Selamat Jalan Kepada Jemaah Haji Malaysia Ke Tanah Suci Bagi Musim Haji 1447H/2026M di sini hari ini.
Turut hadir Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Marhamah Rosli, Pengerusi Tabung Haji (TH) Tan Sri Abdul Rashid Hussain serta Ketua Pegawai Eksekutif TH Mustakim Mohamad.
Ketika menitipkan pesanan, Zulkifli mengingatkan jemaah haji agar menjaga kesihatan, keselamatan diri, menumpukan kepada ibadah serta sentiasa mengikuti perkembangan dari semasa ke semasa dengan mendapatkan maklumat daripada sumber sahih seperti TH.
"Jangan mempercayai berita yang tidak tentu sumbernya. Jangan membuat perkara yang dilarang, yang tidak bersesuaian ketika berada di Tanah Suci. Fokus pada ibadah seperti mana yang telah dipelajari semasa mengikuti kursus haji," katanya.
Zulkifli berkata beliau bersama rombongan juga akan berlepas ke Tanah Suci pada 19 Mei bagi melakukan lawatan kerja, menyantuni jemaah haji Malaysia seterusnya menunaikan haji.
"Insya-Allah seperti mana dijadualkan saya akan berangkat ke Tanah Suci pada 19 Mei. Saya akan ada pelbagai program, termasuk bertemu jemaah haji kita di Tanah Suci," katanya.
Penerbangan terakhir membawa 31,600 jemaah haji Malaysia adalah pada 20 Mei ini.
-- BERNAMA
TAG: Zulkifli Hasan, haji, pertama, Tanah Suci, KLIA












