PPA Bangi perkasa sokongan anak autisme

16 Apr 2026, 2:42 PM
PPA Bangi perkasa sokongan anak autisme

SHAH ALAM, 16 APRIL: Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh sokongan terhadap golongan autisme melalui penubuhan Pusat Perkhidmatan Autisme (PPA) Bangi.

Inisiatif itu dilaksanakan menerusi Jabatan Pembangunan Orang Kurang Upaya (JPOKU) sebagai usaha mempertingkat akses perkhidmatan sokongan awal dan intervensi bagi golongan orang kurang upaya (OKU).

Menurut KPWKM, pusat berkenaan menawarkan pelbagai perkhidmatan termasuk saringan dan pengesanan awal bagi mengenal pasti ciri-ciri autisme dalam kalangan kanak-kanak.

Selain itu, PPA Bangi turut menyediakan program intervensi awal serta terapi pelbagai disiplin yang dilaksanakan secara berstruktur.

“Antara kriteria pengambilan adalah terbuka kepada semua rakyat Malaysia yang mempunyai ciri-ciri autisme berumur antara dua hingga 12 tahun bagi Kategori A manakala 13 hingga 18 tahun bagi Kategori B.

"PPA Bangi turut menyediakan program sokongan kepada ibu bapa, keluarga dan penjaga dalam usaha memperkukuh penjagaan serta perkembangan kanak-kanak autisme,” kata kenyataan itu menerusi Facebook.

KPWKM memaklumkan, inisiatif tersebut merupakan langkah berterusan kerajaan dalam mempertingkat akses perkhidmatan sokongan awal dan intervensi bagi golongan orang kurang upaya (OKU) khususnya autisme.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat lanjut boleh menghubungi PPA Bangi di talian 03-8926 1996 atau menerusi emel ppa_bangi@jkm.gov.my

Pada 14 April lalu, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri turut mengadakan lawatan ke PPA Bangi bagi meninjau pelaksanaan saringan serta kemudahan yang disediakan.

Lawatan itu juga menjadi platform untuk mendapatkan maklum balas pengurusan dalam usaha memperkukuh ekosistem sokongan kepada anak-anak autisme.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.