Polis rampas dadah bernilai RM31.57 juta, ‘dadah zombi’ dikesan dalam vape

16 Apr 2026, 10:30 AM
Polis rampas dadah bernilai RM31.57 juta, ‘dadah zombi’ dikesan dalam vape

KUALA LUMPUR, 16 APRIL: Polis merampas pelbagai jenis dadah dalam dua serbuan yang dijalankan menerusi Ops Hemiptera di Selangor dan Kuala Lumpur pada 9 April, dengan nilai keseluruhan rampasan dianggarkan mencecah RM31.57 juta.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata dalam serbuan itu, polis turut menahan dua lelaki tempatan berusia 31 dan 33 tahun yang dipercayai berperanan sebagai penghantar dadah dan penjaga stor, bagi sindiket yang aktif sejak awal tahun ini.

Beliau berkata serbuan di Bandar Kinrara, Puchong, Selangor membawa kepada penahanan suspek pertama dan penemuan 212 kilogram (kg) Methamphetamine yang disimpan dalam sebuah kereta jenis Audi, manakala dalam serbuan kedua di sebuah rumah teres di Cheras, polis merampas 404kg Methamphetamine, 6.4kg pil Erimin 5 serta dua bungkusan katrij vape mengandungi 0.8 liter cecair disyaki dadah jenis Fentanyl dan menahan seorang lagi suspek.

“Dadah Fentanyl berkenaan disyaki dibawa masuk untuk menyasarkan pasaran tempatan, khususnya di pusat-pusat hiburan dan bukannya untuk dijual secara terbuka di kedai vape biasa.

“Siasatan mendapati dadah yang turut dikenali sebagai ‘dadah zombi’ itu tidak diproses di negara ini, sebaliknya Malaysia dipercayai hanya dijadikan tempat pembungkusan semula ke dalam bentuk katrij vape,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Hussein berkata kedua-dua suspek direman 11 hingga 13 hari bermula 10 April, bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya.

Beliau berkata sindiket dipercayai menyeludup bekalan dari Thailand melalui laluan darat di Bukit Kayu Hitam, Kedah atau menggunakan laluan laut.

“Modus operandi sindiket ini ialah pihak pembekal akan meninggalkan kenderaan yang mengandungi dadah berserta kunci di lokasi yang telah ditetapkan dan diambil pelanggan untuk tujuan menyimpan bekalan dadah di dalam stor dan kemudiannya kenderaan tersebut dipulangkan semula ke lokasi asal sebaik selesai urusan,” katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Hussein berkata polis berjaya menumpaskan sindiket pengedaran dadah yang menyembunyikan Methamphetamine bernilai RM3.05 juta di dalam tin makanan untuk dihantar ke Sabah.

Penemuan dadah itu hasil Ops Icerya yang dijalankan dengan kerjasama Agensi Kawalan Keselamatan Sempadan (AKPS) Sabah, menerusi tiga siri serbuan yang membawa kepada penahanan lima individu terdiri daripada seorang lelaki tempatan, tiga lelaki dan seorang wanita warga asing berusia antara 22 hingga 45 tahun di Selangor dan Kuala Lumpur pada Selasa dan Rabu lepas.

“Sindiket ini dipercayai aktif sejak awal tahun ini dan ujian saringan air kencing mendapati kesemua suspek negatif dadah. Dadah yang dirampas ini boleh merosakkan sehingga 305,000 orang yang menggunakannya,” katanya.

Kesemua suspek direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.