SHAH ALAM, 15 APRIL: Kematian seorang lelaki orang kurang upaya (OKU) yang ditemukan di tepi jalan di Kampung Padang Lati, Bachok, diklasifikasikan sebagai kes bunuh.
Ketua Polis Kelantan Datuk Mohd Yusoff Mamat berkata siasatan awal mendapati mangsa meninggal dunia akibat kecederaan di kepala disebabkan trauma tumpul.
Mangsa, Muhammad Zakir Fikry Mohd Zainal, 20, disahkan meninggal dunia pada jam 12.55 tengah malam di Hospital Pakar Universiti Sains Malaysia.
Menurutnya, pemeriksaan di lokasi kejadian mendapati tiada tanda kemalangan jalan raya, manakala motosikal yang digunakan mangsa berada dalam keadaan baik tanpa sebarang kerosakan.
“Berdasarkan keadaan itu, polis tidak menolak kemungkinan wujud unsur jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Terdahulu, mangsa ditemukan terbaring di tepi jalan kira-kira jam 7.30 pagi semalam dalam keadaan kritikal dengan kecederaan pada bahagian muka dan kepala.
Polis meminta orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian supaya tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Bachok atau mana-mana balai polis berhampiran.








