441 kandungan palsu isu krisis tenaga global dilaporkan

15 Apr 2026, 10:23 AM
441 kandungan palsu isu krisis tenaga global dilaporkan
441 kandungan palsu isu krisis tenaga global dilaporkan

PUTRAJAYA, 15 APRIL: Sebanyak 441 kandungan palsu berkaitan isu krisis tenaga global dikenal pasti berdasarkan aduan awam sejak 29 Mac hingga hari ini, kata Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil.

Beliau yang juga jurucakap Kerajaan MADANI berkata kesemua kandungan berkenaan telah dikenal pasti untuk diturunkan selepas aduan rasmi diterima daripada orang awam, sebelum permohonan penurunan dikemukakan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia kepada platform media sosial terlibat.

“Daripada jumlah kandungan palsu yang telah dikenal pasti itu, 54 kertas siasatan dibuka, 12 kertas siasatan diserahkan kepada Jabatan Peguam Negara untuk penelitian dan tindakan lanjut, manakala 42 lagi kertas siasatan masih berjalan," katanya.

Beliau berkata demikian pada taklimat krisis tenaga global dan sidang media pasca-Mesyuarat Kabinet di sini hari ini.

Fahmi berkata satu grafik palsu yang menyalahgunakan format sebuah media tempatan melibatkan pengumuman mengenai mekanisme harga automatik (APM) turut dikesan disebarkan sejak semalam.

Beliau menegaskan bahawa sebarang perubahan harga bagi produk bahan api hanya akan diumumkan setiap Rabu sekitar 6 petang atau 7 malam melalui saluran rasmi Kementerian Kewangan.

"Sebarang maklumat yang dibuat atau sebaran yang dikesan sebelum hari dan waktu itu, yang bukan disebarkan melalui laman rasmi Kementerian Kewangan, berkemungkinan bersifat palsu," katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.