ad

37,845 kandungan palsu, 7,846 berkaitan 3R diturunkan sejak 2022 - SKMM

14 Ogos 2025, 9:26 AM
37,845 kandungan palsu, 7,846 berkaitan 3R diturunkan sejak 2022 - SKMM

SHAH ALAM, 14 OGOS: Sebanyak 37,845 kandungan palsu dan 7,846 kandungan berkaitan sentimen 3R (kaum, agama dan institusi diraja) diturunkan oleh penyedia perkhidmatan media sosial atas arahan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM), dari 1 Januari 2022 hingga 1 Julai 2025.

Kementerian Komunikasi dalam kenyataan berkata tindakan itu diambil kerana melanggar Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), termasuk kandungan jelik melampau yang bertujuan menyakitkan hati, menganiaya atau mengganggu orang lain.

“SKMM memandang serius isu penyebaran maklumat palsu di media sosial, khususnya cubaan memanipulasi sentimen 3R oleh pihak tidak bertanggungjawab termasuk akaun troll politik.

"Setiap tindakan penurunan dilaksana berdasarkan perundangan sedia ada, tanpa mengambil kira latar belakang politik atau kepercayaan individu, bagi memastikan kebebasan bersuara tidak disalahgunakan.

“Penilaian akhir juga adalah tertakluk kepada penyedia platform mengikut garis panduan komuniti mereka," menurut kementerian itu menerusi jawapan bertulis dalam sidang Dewan Rakyat.

Dalam jawapan bertulis kepada soalan Chong Zhemin (PH-Kampar) yang meminta penjelasan mengenai langkah mengekang penyebaran maklumat palsu dan status penguatkuasaan terhadap akaun troll politik, menurut kementerian tindakan itu melibatkan penyebaran maklumat palsu termasuk manipulasi oleh akaun troll politik yang cuba menimbulkan ketegangan kaum dan agama.

"Setiap tindakan penurunan dilaksanakan berdasarkan perundangan sedia ada, tanpa mengambil kira latar belakang politik atau kepercayaan individu bagi memastikan kebebasan bersuara tidak disalahgunakan. Penilaian akhir juga tertakluk kepada penyedia platform mengikut garis panduan komuniti mereka,” menurut kementerian itu.

Menurut Kementerian Komunikasi, SKMM bekerjasama rapat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam menguatkuasakan Akta 588 serta undang-undang berkaitan. 

"Tindakan boleh diambil ke atas mana-mana individu di bawah Seksyen 233 Akta 588 yang menyalahgunakan perkhidmatan aplikasi, termasuk media sosial bagi membuat dan menyebarkan kandungan palsu atau yang bersifat jelik melampau dengan niat untuk, antara lain menyakitkan hati, menganiaya atau mengganggu orang lain," menurut jawapan itu. 

Tambah kenyataan itu, aduan rasmi boleh dibuat melalui portal https://aduan.mcmc.gov.my atau secara bertulis di mana-mana pejabat negeri MCMC.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.