SKMM siasat kes berita palsu diesel, individu dipanggil

15 Apr 2026, 3:50 AM
SKMM siasat kes berita palsu diesel, individu dipanggil

SHAH ALAM, 15 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengambil keterangan seorang individu yang disyaki menyebarkan berita palsu berkaitan pembekalan kira-kira 329,000 tong diesel ke Filipina.

Agensi itu memaklumkan peranti komunikasi yang digunakan suspek untuk memuat naik kandungan berkenaan turut disita bagi membantu siasatan lanjut.

“Setakat semalam, SKMM telah membuka 47 kertas siasatan berhubung penyebaran berita palsu berkaitan krisis tenaga global di media sosial susulan konflik di Asia Barat, dan semua kes masih dalam siasatan.

“Antara kandungan tular termasuk dakwaan kenaikan harga bahan api yang tidak tepat, tarif elektrik meningkat, kapal Malaysia di Selat Hormuz membayar tol kepada Iran serta pemberian subsidi BUDI95 kepada warga Singapura,” katanya dalam kenyataan.

Menurut SKMM, semua kes disiasat di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588), yang memperuntukkan denda sehingga RM500,000 atau penjara maksimum dua tahun, atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.

“SKMM memandang serius penyalahgunaan platform digital untuk mengelirukan orang ramai melalui penyebaran maklumat palsu.

“Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar undang-undang,” katanya.

Pada Isnin, Menteri Komunikasi yang juga jurucakap Kerajaan MADANI, Datuk Fahmi Fadzil menegaskan dakwaan kerajaan menghantar bekalan diesel ke Filipina sebagaimana tular dalam media sosial adalah tidak benar.

Beliau sebaliknya menjelaskan ia berpunca daripada salah faham berkaitan pergerakan logistik perkapalan di perairan Johor selain bekalan terbabit tidak diproses PETRONAS atau mana-mana syarikat minyak tempatan tetapi dimiliki dan dijual oleh syarikat berpangkalan di Singapura, Vitol.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.