KUALA TERENGGANU, 14 APRIL: Keikhlasan dua beradik menghadiahkan duit raya kepada Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim semalam menyentuh hati pemimpin negara itu yang membalasnya dengan pemberian sama hari ini.
Aesha Khadeeja Anuar, 10, berkata dia dan adik lelakinya, Uwais AlQorni, 8, tidak menyangka tindakan spontan mereka ketika melihat Perdana Menteri ingin menaiki pesawat di Lapangan Terbang Sultan Mahmud di Kuala Nerus malam semalam itu dibalas hari ini, sekali gus meninggalkan kenangan sangat bermakna kepada mereka.
“Pada mulanya saya, adik dan ibu (Liza Fazilah Abdul Hamid, 49) dalam perjalanan pulang selepas balik mengaji al-Quran. Apabila tiba di persimpangan lampu isyarat, kami terlihat polis pengiring bersama rombongan Perdana Menteri menuju ke Kuala Nerus, jadi saya menyuruh ibu saya mengikut mereka hinggalah tiba di lapangan terbang.
“Apabila ternampak Perdana Menteri di lapangan terbang kami pun segera mendapatkan duit belanja sekolah kami di dalam sampul dan memberinya kepada Perdana Menteri sebab inikan bulan Syawal jadi saya nak beri duit raya. Saya beri RM5 manakala adik beri RM2,” katanya kepada pemberita selepas menerima sumbangan dan duit raya daripada Anwar di kediaman mereka di sini hari ini.
Sumbangan berupa duit raya dan tablet daripada Anwar itu disampaikan Pengarah Pembangunan Persekutuan Negeri (ICU JPM) Terengganu Datuk Abdul Kahar Abdul Latif.
Aesha Khadeeja berkata dia dan adiknya juga menyimpan hasrat mengunjungi Anwar di pejabatnya di Putrajaya suatu hari nanti dan ingin membawa keropok lekor sebagai hadiah kepada pemimpin negara itu.
Anak sulung daripada dua beradik itu berkata Perdana Menteri sememangnya sentiasa dekat di hatinya kerana berkongsi sebutan nama yang sama dengan bapanya, Anuar Rashid.
Terdahulu, Anwar di dalam hantaran di laman Facebook beliau telah memuat naik video berdurasi satu minit 23 saat menunjukkan Aesha Khadeeja dan Uwais AlQorni memberikan sampul duit raya kepadanya dari luar pagar lapangan terbang.
Melalui kapsyen hantaran video tersebut Anwar berkata beliau tersentuh hati melihat keikhlasan kedua-dua kanak-kanak itu menghulurkan duit raya kepadanya dengan menganggap ia sebagai satu tanda kasih yang merendahkan jiwa.
“Saya anggap ia simbol kebersamaan rakyat tanpa mengira usia, saling menguatkan tatkala mendepani krisis ketika ini. Melihat wajah-wajah ini, terbit rasa sayu dan kasih, amanah kita adalah memastikan setiap anak Malaysia dibesarkan dengan kasih sayang, didikan baik dan peluang yang adil.
“Semoga Uwais dan Aesha membesar sebagai generasi berilmu, berakhlak dan membawa kebaikan kepada keluarga serta negara,” katanya.
Semalam, Anwar mengadakan lawatan sehari ke Terengganu dengan menghadiri pelbagai program termasuk merasmikan Majlis Tilawah dan Hafazan al-Quran Peringkat Kebangsaan Tahun 1447 Hijrah di Dewan Arena Stadium Tertutup, Kompleks Sukan Negeri di Gong Badak, Kuala Nerus.








