Denda sehingga RM3 juta bagi pesalah seludup bahan api

14 Apr 2026, 8:02 AM
Denda sehingga RM3 juta bagi pesalah seludup bahan api
Denda sehingga RM3 juta bagi pesalah seludup bahan api
Denda sehingga RM3 juta bagi pesalah seludup bahan api

SHAH ALAM, 14 APRIL: Individu yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan berdepan tindakan tegas termasuk denda sehingga RM3 juta, kata Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Selangor.

Ketua Pegawai Penguat Kuasa KPDN Selangor, Mohd Hanizam Kechek, menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap pihak yang terlibat dalam penyeludupan bahan api di negeri ini.

"KPDN Selangor tidak akan berkompromi dengan pihak yang gagal mematuhi peruntukan di bawah Akta Kawalan Bekalan. Tindakan tegas boleh dikenakan ke atas individu atau syarikat terliIbat.

"Individu yang melakukan kesalahan boleh diambil tindakan mengikut Akta Kawalan Bekalan 1961 [Akta 122]. Jika disabitkan, pesalah boleh didenda tidak melebihi RM1 juta, manakala bagi kesalahan berikutnya, denda boleh mencecah sehingga RM3 juta atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya," katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan bahawa bagi syarikat, denda boleh dikenakan sehingga RM2 juta dan meningkat kepada RM5 juta bagi kesalahan berulang.

Dalam pada itu, Mohd Hanizam berkata 476 pemeriksaan dilaksanakan menerusi Op Tiris 4.0, melibatkan 453 stesen minyak, 20 pemborong bahan api, sebuah kedai runcit pemegang permit barang kawalan serta dua premis stor haram.

"Daripada jumlah tersebut, tujuh kes dihasilkan, melibatkan dua premis stor haram, sebuah kedai perkakasan, satu kes di stesen minyak dan tiga pemborong bahan api.

"Nilai keseluruhan sitaan di bawah Op Tiris 4.0 kini mencecah RM70,000 sejak operasi ini dilaksanakan pada 1 April lalu," katanya.

KPDN Selangor menegaskan pihaknya akan mengesyorkan pembatalan atau penggantungan kelulusan Fleet Card terhadap pihak yang menyalahgunakan kemudahan di bawah Skim Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) serta subsidi nelayan di negeri ini.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.