Kerajaan teliti langkah kawal harga barang, bahan api

13 Apr 2026, 12:00 PM
Kerajaan teliti langkah kawal harga barang, bahan api

KUALA TERENGGANU, 13 APRIL: Kerajaan akan terus meneliti langkah bersesuaian bagi menangani kenaikan harga barang keperluan dan bahan api yang menjadi perhatian rakyat pada masa ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Justeru, beliau berkata mesyuarat melibatkan Majlis Keselamatan Negara (MKN) yang menumpukan implikasi keselamatan dan Majlis Tindakan Ekonomi Negara (MTEN) memfokuskan isu ekonomi akan diadakan esok.

"Esok kita adakan mesyuarat lagi untuk cari jalan kalau perlu apa-apa tindakan, setakat ini bekalan masih terkawal," katanya kepada pemberita selepas menghadiri program Mini Konvensyen PKR di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil, Menteri Sains Teknologi dan Inovasi Datuk Chang Lih Kang dan Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Dr Fuziah Salleh.

Perdana Menteri berkata demikian ketika ditanya sama ada kerajaan akan melaksanakan penyelarasan atau mengumumkan pakej rangsangan baharu berikutan negara dijangka berdepan tempoh kritikal sekitar Jun dan Julai dalam usaha memastikan bekalan diesel dapat terus dibekalkan susulan krisis tenaga global.

Sebelum ini, Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir dilaporkan berkata susulan isu berkenaan, langkah intervensi perlu diambil bermula sekarang bagi memastikan tidak berlaku kekurangan bekalan dalam pasaran tempatan.

Sementara itu, Anwar berkata kerajaan buat masa ini telah mengambil inisiatif dengan mengekalkan harga subsidi petrol RON95 pada paras RM1.99 seliter bagi meringankan beban rakyat selain bantuan diesel untuk pengangkutan bas sekolah.

Kementerian Kewangan dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan walaupun harga bahan api domestik kekal dipengaruhi pergerakan harga antarabangsa, kerajaan memilih untuk tidak memindahkan sepenuhnya kenaikan harga tersebut kepada rakyat.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.