PUTRAJAYA, 4 MEI: Kerajaan tidak menafikan wujud tekanan kos sara hidup dan kenaikan harga barang, namun langkah menanganinya perlu dilaksanakan secara bijak dan bersasar, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata tidak semua permasalahan dapat ditangani sepenuhnya memandangkan kekangan kewangan negara, terutama dalam situasi global yang tidak menentu.
"Apakah saya nafikan bahawa ada permasalahan dari segi kos sara hidup dan harga barang? Saya tak nafikan. Apakah ia harus ditangani dengan bijak? Ya. Apakah mampu kita bantu? Saya jawab sebahagiannya ya, tak mampu kita bantu semua," kata beliau.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Perdana Menteri Bersama Warga Kementerian bersempena dengan Perhimpunan Bulanan Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam Datuk Seri Arthur Joseph Kurup dan timbalannya Syed Ibrahim Syed Noh serta Ketua Setiausaha Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata antara langkah yang diambil termasuk mengekalkan subsidi bahan api seperti RON95, serta memperkenalkan bantuan bersasar seperti inisiatif BUDI MADANI bagi membantu golongan terkesan.

Bagaimanapun, beliau menegaskan kos subsidi yang tinggi menjadi cabaran besar kepada kerajaan, sekali gus memerlukan penyesuaian dasar dari semasa ke semasa.
Anwar berkata pendekatan kerajaan kini dalam mendepani cabaran berkenaan lebih tertumpu kepada penyasaran bantuan bagi memastikan golongan yang benar-benar memerlukan terus dilindungi.
Kerajaan juga akan terus memantau harga barangan serta mendapatkan maklum balas di lapangan bagi memastikan dasar yang dilaksanakan benar-benar berkesan.
Perdana Menteri turut menegur pihak yang mengeluarkan kenyataan tidak berasaskan fakta berhubung laluan kapal minyak di Selat Hormuz, sambil menegaskan situasi sebenar jauh lebih kompleks.
Beliau berkata terdapat dakwaan termasuk daripada pemimpin tertentu yang menyatakan kapal syarikat negara tidak melalui laluan itu, sedangkan realitinya ia adalah antara laluan penting perdagangan tenaga global.
"Ini kadang-kadang politik di Malaysia ... dia tak kira fakta, dia tak kira benar ... tidak pernah tabayyun, tidak pernah menilai kebenaran dan faktanya," kata beliau.








