KUALA TERENGGANU, 13 APRIL: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu kontroversi berhubung dakwaan pembekalan diesel kepada Filipina dihentikan kerana perkara tersebut tidak benar.
Beliau menjelaskan bahawa syarikat yang membekalkan bahan api kepada negara berkenaan bukan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) sebaliknya syarikat perdagangan komoditi asing iaitu VITOL.
"Dia (VITOL) memang ada perjanjian bawa minyak jual ke Filipina. Bukan kita (Petronas) bagi (bekal) kepada Filipina. Tetapi kita tidak menahan. Kita bagi laluan. Minyak (milik) orang dalam perjanjian asing.
“Saya harap hentikanlah kontroversi ini, dan tumpukan untuk bangunkan negara dalam keadaan ekonomi yang mencabar sekarang," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra MADANI bersama pelajar tahfiz negeri di Sekolah Menengah Imtiaz Yayasan Terengganu di sini hari ini.
Turut hadir Menteri Besar Terengganu Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Semalam, media melaporkan Petronas menafikan terbabit dalam laporan penghantaran bekalan diesel dari Malaysia ke Filipina.
Syarikat minyak nasional itu dalam kenyataan dilaporkan berkata pihaknya tidak pernah memasuki sebarang perjanjian berhubung perkara tersebut dengan mana-mana pihak di Filipina.








