KUALA LUMPUR, 13 APRIL: Presiden Donald Trump pada Ahad berkata Tentera Laut Amerika Syarikat (AS) akan memulakan sekatan di Selat Hormuz serta-merta dan turut memintas setiap kapal di perairan antarabangsa yang telah membayar tol kepada Iran, lapor Reuters.
Trump membuat kenyataan itu menerusi hantaran di Truth Social beberapa jam selepas rundingan damai AS-Iran berakhir tanpa mencapai sebarang kata sepakat.
Trump berkata pertemuan itu “berjalan dengan baik, kebanyakan perkara telah dipersetujui,” namun menambah kedua-dua pihak masih belum mencapai persetujuan mengenai program nuklear Iran.
“Berkuat kuasa serta-merta, Tentera Laut Amerika Syarikat akan memulakan proses MENYEKAT semua kapal yang cuba memasuki atau keluar dari Selat Hormuz,” kata Trump, yang menentang keras tindakan Iran mengenakan bayaran tol ke atas kapal yang melalui selat itu.
“Saya juga telah mengarahkan Tentera Laut kami untuk mengesan dan memintas setiap kapal di perairan antarabangsa yang telah membayar tol kepada Iran. Sesiapa yang membayar tol haram tidak akan mendapat laluan selamat di laut lepas," katanya.
-- REUTERS








