Rundingan Iran-AS gagal capai persetujuan di Islamabad

12 Apr 2026, 9:58 AM
Rundingan Iran-AS gagal capai persetujuan di Islamabad

ISLAMABAD, 12 APRIL: Delegasi Iran berlepas dari Islamabad ke Tehran selepas rundingan berprofil tinggi dengan Amerika Syarikat (AS) berakhir tanpa sebarang persetujuan, lapor Anadolu Ajansi (AA) memetik Press TV milik kerajaan Iran.

Delegasi itu, yang diketuai Yang Dipertua Parlimen Mohammad Bagher Qalibaf dan turut disertai Menteri Luar Abbas Araghchi serta beberapa pegawai lain, meninggalkan Pakistan selepas rundingan intensif itu tamat.

Rundingan yang berlangsung di bawah kerangka “Rundingan Islamabad” dihoskan Pakistan sebagai sebahagian daripada usaha menamatkan perang AS-Israel terhadap Iran yang bermula pada 28 Feb.

Pakistan sebelum ini turut menjadi pengantara kepada gencatan senjata selama dua minggu pada awal minggu ini.

Menteri Luar Pakistan Ishaq Dar mengesahkan rundingan itu telah berakhir dan menggesa kedua-dua pihak terus berpegang pada komitmen mereka terhadap gencatan senjata.

Beliau menyuarakan harapan agar Washington dan Tehran meneruskan penglibatan dalam “semangat positif” demi mencapai keamanan dan kestabilan berkekalan di rantau itu.

Dar berkata Pakistan akan terus memainkan peranannya untuk memudah cara penglibatan dan dialog antara Iran dan AS “pada hari-hari mendatang.”

Delegasi AS diketuai Naib Presiden JD Vance dan turut dianggotai Jared Kushner.

Rundingan itu merangkumi beberapa pusingan perbincangan secara langsung dan tidak langsung.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.