Ops Tiris 4.0: KPDN tumpu stesen minyak, premis perniagaan

12 Apr 2026, 5:07 AM
Ops Tiris 4.0: KPDN tumpu stesen minyak, premis perniagaan
Ops Tiris 4.0: KPDN tumpu stesen minyak, premis perniagaan
Ops Tiris 4.0: KPDN tumpu stesen minyak, premis perniagaan
Ops Tiris 4.0: KPDN tumpu stesen minyak, premis perniagaan

SHAH ALAM, 12 APRIL: Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mempergiat pemantauan di stesen minyak sekitar Klang dan Shah Alam bagi memastikan pematuhan peraturan serta membanteras penyelewengan subsidi bahan api.

Operasi yang dijalankan semalam melibatkan beberapa lokasi tumpuan termasuk Setia Alam, Lebuhraya KESAS, Bandar Baru Klang, Rantau Panjang Klang, Kampung Batu Belah dan Lebuhraya SHAPADU.

Menurut kenyataan Facebook KPDN Selangor, pemantauan tersebut dilaksanakan di bawah Ops Tiris 4.0 yang memfokuskan usaha menyekat ketirisan subsidi serta mengekang aktiviti penyeludupan bahan api.

“Hasil pemeriksaan mendapati bekalan bahan api berada pada tahap mencukupi dengan pengusaha menunjukkan tahap pematuhan tinggi,” menurut kenyataan itu.

Dalam operasi sama, anggota penguat kuasa turut memeriksa pematuhan larangan penjualan petrol RON95 dan diesel kepada kenderaan pendaftaran asing di semua stesen terlibat.

Langkah tersebut merupakan antara usaha berterusan kerajaan bagi memastikan subsidi bahan api dinikmati golongan yang layak serta mengelakkan ketirisan.

Dalam perkembangan berkaitan, pemeriksaan berasingan turut dijalankan di sekitar Ampang dan Kajang melibatkan premis perniagaan serta stesen minyak.

Pemeriksaan itu bertujuan memastikan keberadaan barang kawalan serta pematuhan penggunaan alat timbang dan sukat.

Hasilnya, enam premis dikenakan kompaun serta-merta kerana gagal menggunakan alat timbang dan sukat dalam tempoh ditetapkan.

KPDN menegaskan operasi penguatkuasaan akan terus dipergiat dari semasa ke semasa bagi memastikan bekalan mencukupi dan kepentingan pengguna terus dilindungi.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.