SHAH ALAM, 12 APRIL: Polis mengesahkan kejadian seorang wanita menceroboh sebuah rumah di Kampung Melayu Subang yang tular di media sosial.
Ketua Polis Daerah Sungai Buloh, Superintendan Mohd Hafiz Muhammad Nor berkata kejadian itu mula tular selepas dimuat naik oleh pemilik akaun Threads kira-kira jam 9 pagi semalam.
Menurutnya, pihak polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan di Balai Polis Kampung Baru Subang pada jam 10.41 malam kelmarin.
“Suspek kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sungai Buloh untuk siasatan lanjut.
“Hasil siasatan mendapati suspek gagal memberikan keterangan jelas dan dipercayai tidak waras,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.
Beliau berkata suspek seterusnya dirujuk ke hospital bagi pengesahan tahap kesihatan mental dan kini masih menerima rawatan di wad psikiatri di sebuah hospital di Selangor.
Terdahulu, tular video memaparkan seorang wanita menceroboh sebuah rumah dan duduk di sofa sambil menghisap rokok.








