Malaysia bantah penempatan haram Israel di wilayah Palestin

11 Apr 2026, 8:05 AM
Malaysia bantah penempatan haram Israel di wilayah Palestin

PUTRAJAYA, 11 APRIL: Malaysia mengecam sekeras-kerasnya keputusan terbaharu rejim Zionis Israel yang meluluskan pembinaan 34 penempatan haram baharu di Wilayah Palestin yang Diduduki (OPT).

Dalam satu kenyataan pada Sabtu, Kementerian Luar yang turut dikenali sebagai Wisma Putra berkata Malaysia menegaskan bahawa peluasan penempatan secara berterusan merupakan pencabulan nyata terhadap undang-undang antarabangsa serta resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) yang berkaitan, terutamanya Konvensyen Geneva Keempat dan Resolusi Majlis Keselamatan PBB 2334 (2016).

Kementerian itu berkata tindakan tersebut juga merupakan cubaan untuk mengubah komposisi demografi Wilayah Palestin.

“Malaysia menggesa masyarakat antarabangsa dan Majlis Keselamatan PBB untuk bertindak tegas bagi memastikan rejim Israel mematuhi undang-undang antarabangsa,” menurut kenyataan itu.

Wisma Putra berkata Malaysia menegaskan komitmen yang tidak berbelah bahagi, mengulangi seruannya bagi penubuhan sebuah negara Palestin yang merdeka dan berdaulat, berdasarkan sempada pra-1967, dengan Baitulmaqdis Timur sebagai ibu negara.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.