Suspek kes gangguan seksual dalam tren direman hingga 24 April

11 Apr 2026, 7:30 AM
Suspek kes gangguan seksual dalam tren direman hingga 24 April

SHAH ALAM, 11 APRIL: Lelaki warga asing yang dipercayai terlibat dalam beberapa kes gangguan seksual dalam tren baru-baru ini ditahan polis bantuan Prasarana.

Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) menerusi kenyataan memaklumkan suspek berusia 19 tahun itu diberkas dalam satu operasi dilancarkan susulan laporan dibuat seorang saksi pada 8 April lalu.

Menurut Rapid Rail, suspek dipercayai mengganggu seorang penumpang wanita di dalam tren Laluan Kelana Jaya selain terlibat dalam satu lagi kes gangguan seksual di Stesen Kuchai, laluan Putrajaya.

"Tindakan pantas pasukan polis bantuan Prasarana berjaya mengesan dan menahan suspek dalam masa kurang 24 jam, mencerminkan tahap kesiapsiagaan serta kecekapan pasukan dalam memastikan keselamatan pengguna.

"Suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Sri Petaling untuk tindakan lanjut dan pihak Rapid Rail akan memberikan kerjasama penuh kepada Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi membantu proses siasatan," katanya.

Dalam pada itu, Rapid Rail menyeru pengguna segera membuat laporan kepada pegawai stesen atau anggota polis bantuan Prasarana yang bertugas jika melihat atau menjadi mangsa sebarang gangguan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Hoo Chang Hook berkata suspek direman sehingga 24 April ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan kerana mencabul kehormatan.

Siasatan juga dijalankan mengikut Seksyen 6(1) Akta Imigresen 1959/63 kerana tidak memiliki dokumen perjalanan sah.

Beliau berkata, mangsa berusia 23 tahun bekerja sebagai ahli terapi kecantikan mendakwa dipeluk dari belakang tanpa kebenaran oleh lelaki tidak dikenali.

Menurutnya, kejadian di kaki lima kawasan stesen MRT ketika mangsa sedang berjalan menuju ke tandas.

"Siasatan awal mendapati suspek dipercayai mengekori mangsa sebelum melakukan perbuatan itu," katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Harian Metro.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.