SHAH ALAM, 10 APRIL: Dua kejadian samun bersenjata dilaporkan berlaku dalam tempoh kurang 24 jam di sekitar Bandar Baru Nilai dan Rumah Rakyat Nilai, semalam.
Ketua Polis Daerah Nilai, Superitendan Johari Yahya berkata kedua-dua kes melibatkan suspek bermotosikal yang bersenjatakan pisau dan parang.
"Kejadian pertama dilaporkan berlaku pada jam 1.10 pagi di kedai serbaneka 24 jam di Jalan BBN 1/2F, Bandar Baru Nilai.
"Siasatan awal mendapati, kejadian membabitkan dua lelaki tidak dikenali yang menaiki sebuah motosikal. Salah seorangnya bersenjatakan pisau," katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, suspek bertindak mengugut mangsa lelaki berusia 20-an sebelum seorang lagi suspek mengambil wang tunai dianggarkan RM600 serta beberapa karton rokok pelbagai jenama, sebelum melarikan diri.
Johari berkata, kejadian kedua pula berlaku pada jam 9.48 malam di kawasan Rumah Rakyat Nilai, membabitkan mangsa wanita berusia 50-an.
"Dalam kejadian ini, tiga lelaki tidak dikenali yang menaiki dua motosikal dan bersenjatakan parang dikatakan bertindak mengugut mangsa sebelum melarikan barang berharga milik mangsa termasuk wang tunai, kad bank dan barang kemas.
"Mangsa turut mengalami kecederaan ringan pada bahagian jari tangan ketika mempertahankan begnya. Jumlah kerugian dianggarkan melebihi RM2,000," katanya.
Beliau berkata, kedua-dua kes kini disiasat mengikut Seksyen 395/397 Kanun Keseksaan dan Seksyen 394 Kanun Keseksaan.
Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi mana-mana balai polis berhampiran.





