Kerajaan pastikan bekalan bahan api, asas mencukupi demi kelangsungan ekonomi

10 Apr 2026, 12:34 AM
Kerajaan pastikan bekalan bahan api, asas mencukupi demi kelangsungan ekonomi

KUALA LUMPUR, 10 APRIL: Kerajaan memberi tumpuan dalam memastikan bekalan bahan api dan bahan asas mencukupi bagi membolehkan kegiatan ekonomi diteruskan, kata Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir.

Beliau berkata isu bekalan bahan api merupakan cabaran terbesar berikutan krisis tenaga global dan keutamaan negara adalah untuk memastikan bekalan berkenaan adalah mencukupi.

“Meneliti pandangan seperti Bank Dunia, kita tahu bahawa krisis yang berlaku ketika ini adalah isu bekalan.

“Oleh itu, segala kekuatan yang ada itu sepatutnya tertumpu kepada menjamin (ketersediaan) bekalan bahan api dan bahan asas untuk membolehkan kegiatan ekonomi ini terus ada,” katanya kepada Bernama.

Beliau berkata demikian sebelum menjadi tetamu program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Mendepani Krisis Tenaga Global: Ikhtiar Perkukuh Ketahanan Ekonomi’ pada malam tadi.

Menteri Ekonomi Akmal Nasrullah Mohd Nasir bercakap pada program Ruang Bicara terbitan Bernama TV bertajuk ‘Mendepani Krisis Tenaga Global: Ikhtiar Perkukuh Ketahanan Ekonomi’ pada 9 April 2026. Foto BERNAMA

Menyentuh kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini bahawa bekalan bahan api Malaysia mencukupi sekurang-kurangnya sehingga Jun, Akmal Nasrullah percaya Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) sedang berusaha bagi kesinambungan bekalan selepas tempoh itu.

“Pada masa sama, kita juga meneliti adanya trend di kebanyakan negara yang mula melihat (semula) keperluan domestik. Saya menjangkakan ada negara yang akan melihat hubungan (diplomasi) lebih kepada seperti sistem barter (pertukaran barangan).

“Itu akan menjadi antara strategi perlu diteliti untuk memastikan bahawa kepentingan negara ini terjamin melalui hubungan dengan negara-negara lain,” katanya.

Bercakap dalam program itu, Akmal Nasrullah menyifatkan krisis tenaga global turut membolehkan kerajaan menggerakkan inisiatif-inisiatif seperti penggunaan biodiesel dan sebagainya.

“(Kita tidak mahu melihat biodiesel hanya) antara alternatif dan dilupakan apabila krisis mulai reda.

“Itu antara cabaran untuk mengubah keadaan itu supaya kita proaktif bukan sahaja dalam mendepani krisis (ketika ini), tapi memastikan daya tahan (biodiesel) yang lebih lama,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.