SHAH ALAM, 9 APRIL: Pelajar cemerlang Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2025 di Dewan Undangan Negeri (DUN) Kuala Kubu Baharu berpeluang menerima insentif tunai sehingga RM350 menerusi program Hadiah Keputusan Cemerlang.
Wakil rakyatnya Pang Sock Tao berkata program itu terbuka kepada pelajar yang memperoleh sekurang-kurangnya 5A dengan syarat ibu atau bapa merupakan pengundi berdaftar di DUN berkenaan.
"Pencapaian cemerlang ini mencerminkan semangat, disiplin dan kesungguhan anda dalam menempuh cabaran.
“Sebagai tanda penghargaan, kami menyediakan Hadiah Keputusan Cemerlang SPM 2025 untuk pelajar yang layak," tulisnya di Facebook.
Permohonan boleh dibuat dengan mengimbas kod QR pada poster atau melalui pautan yang disediakan. Tarikh tutup permohonan adalah pada 30 April 2026.









