SHAH ALAM, 9 APRIL: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) menegaskan Liga Malaysia (Liga M) belum berada dalam keadaan tenat meskipun beberapa kelab berdepan cabaran kewangan dan isu pengurusan.
Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd berkata situasi semasa merupakan sebahagian daripada proses pembaharuan menerusi pelaksanaan Financial Fair Play (FFP), lapor Berita Harian.
“Tidak wujud liga tenat jika dilihat kepada pelaksanaan FFP ini. Ini tahun pertama ia diperkenalkan dan La Liga sendiri mengambil masa lima tahun untuk benar-benar stabil.
“Kita masih di peringkat awal dan belum selesai sepenuhnya, namun perkembangan positif sudah mula kelihatan.
“Justeru, kita tidak melihat liga ini tenat atau mundur, sebaliknya proses ini membantu memperbaiki keadaan,” katanya pada majlis kerjasama MFL dan Konami, hari ini.
Kenyataan itu susulan beberapa kelab menyuarakan keperluan mengadakan perbincangan meja bulat bagi membincangkan cabaran dihadapi, khususnya melibatkan aspek kewangan dan pengurusan liga.
Shazli berkata MFL terbuka menerima pandangan, cadangan dan kritikan daripada semua kelab demi memastikan kelangsungan Liga M.
“Sejak beberapa hari lalu, pelbagai pandangan disuarakan oleh Selangor, Penang, Negeri Sembilan, Sabah dan Terengganu.
“MFL sentiasa terbuka kerana matlamat kita adalah untuk memperbaiki Liga M secara bersama.
“Kita sudah ada perancangan, namun tarikh belum ditetapkan kerana perlu mengambil kira kesesuaian jadual kelab, CEO dan Ahli Lembaga Pengarah.
“Insya-Allah, pertemuan itu akan diadakan sebelum penghujung April,” katanya.








