Final Piala Malaysia guna pengadil luar negara

15 Mei 2026, 4:39 AM
Final Piala Malaysia guna pengadil luar negara

SHAH ALAM, 15 MEI: Liga Bolasepak Malaysia (MFL) membuat keputusan berani apabila bakal menggunakan khidmat pengadil luar negara untuk mengadili aksi final Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.

Presiden MFL, Datuk Ab Ghani Hassan berkata pihaknya sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) bagi mendapatkan barisan pengadil antarabangsa terbaik untuk perlawanan kemuncak edisi ke-99 itu.

Menurutnya, MFL memohon empat pegawai pengadil luar negara termasuk dua pembantu pengadil serta seorang pengadil video bantuan pengadil (VAR).

“Final Piala Malaysia adalah perlawanan berprofil tinggi dan menjadi tumpuan peminat bola sepak negara. Sebab itu kita mahu standard pengadilan terbaik bagi memastikan integriti dan kelancaran perlawanan,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Beliau percaya penggunaan pengadil antarabangsa mampu meningkatkan mutu pertandingan selain memberi pengalaman lebih baik kepada pemain, pegawai pasukan dan penyokong.

“Malah kehadiran pengadil luar negara juga membuka ruang pertukaran kepakaran kerana pengadil tempatan boleh mempelajari standard pengadilan antarabangsa,” katanya lagi.

Sebagai rekod, FAM pernah mencipta sejarah apabila membawa masuk pengadil Jepun, Takuto Okabe, untuk mengadili final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Ab Ghani berkata keputusan itu turut dibuat selepas cadangan penggunaan pengadil luar negara dibangkitkan dalam sesi meja bulat MFL bersama rakan kongsi liga pada 29 April lalu.

“MFL sentiasa terbuka menerima cadangan penambahbaikan dalam aspek pengelolaan liga walaupun penggunaan pengadil luar negara membabitkan kos tinggi,” katanya.

Final Piala Malaysia musim ini bakal menemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim (JDT) dengan Kuching City FC yang mencipta sejarah layak ke final buat kali pertama.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.