Kawal kos bahan api, syarikat lori susun semula jadual penghantaran

10 Apr 2026, 3:15 AM
Kawal kos bahan api, syarikat lori susun semula jadual penghantaran
Kawal kos bahan api, syarikat lori susun semula jadual penghantaran

KLANG, 10 APRIL: Kenaikan harga diesel menjejaskan operasi harian pemandu lori apabila syarikat mengambil langkah menyusun semula jadual penghantaran bagi mengawal kos bahan api.

Tinjauan mendapati kebanyakan syarikat masih mengekalkan operasi seperti biasa bagi memastikan bekalan kepada pengguna tidak terjejas, namun pergerakan penghantaran kini dilaksanakan secara lebih terancang dan terhad.

Pemandu lori, Barbir Singh, 64, berkata setakat ini kerja masih berjalan lancar walaupun terdapat beberapa penyesuaian dari segi perjalanan.

Barbir Singh

“Permintaan masih ada, jadi penghantaran tetap berjalan, namun syarikat menekankan penjimatan bahan api dan hanya melaksanakan perjalanan yang benar-benar perlu.

“Perjalanan yang kurang penting akan ditangguhkan, manakala penghantaran dirancang mengikut kawasan bagi menjimatkan masa serta penggunaan bahan api,” katanya.

Beliau berkata kenaikan harga diesel sukar dielakkan, selain pemandu turut berdepan kekangan seperti kehabisan bekalan di stesen minyak serta perlu beratur panjang untuk mengisi bahan api.

Muhammad Firdaus

Bagi Muhammad Firdaus, 34, situasi tersebut memberi kesan lebih ketara apabila terdapat had pengisian diesel yang menjejaskan perjalanan.

“Kita tak boleh isi penuh macam dulu, kena ulang-alik isi minyak jadi buang masa.

“Ada juga syarikat guna sistem kad, kadang kena tunggu penyelia, semua ini buat kita rugi trip dan kerja jadi lebih susah,” katanya.

Sementara itu, Muhammad Salleh, 42, berkata ada syarikat yang menanggung kos diesel melalui subsidi dalaman sekali gus membantu operasi kekal stabil.

Muhammad Salleh Sayuti

“Dari segi kerja tiada masalah kerana kos diesel ditanggung syarikat dan gaji juga tidak terjejas.

“Namun, ada syarikat yang mengurangkan perjalanan atau kadar sewaan, menyebabkan pendapatan pemandu terkesan,” katanya.

Beliau berharap harga diesel dapat diturunkan bagi membolehkan pemandu melakukan lebih banyak perjalanan sekali gus meningkatkan pendapatan.

Secara keseluruhan, subsidi yang disediakan syarikat sedikit sebanyak membantu menampung kos operasi, namun penyusunan semula jadual perjalanan kekal menjadi langkah utama bagi memastikan kelancaran operasi.

Harga diesel tanpa subsidi di Semenanjung meningkat 70 sen kepada RM6.72 seliter, manakala harga runcit bersubsidi di Sabah, Sarawak dan Labuan kekal pada RM2.15 seliter bagi tempoh 9 hingga 15 April ini.

Sementara itu, harga bagi Sistem Kawalan Petrol Bersubsidi (SKPS) dan Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS) masing-masing dikekalkan pada RM2.05 dan RM2.15 seliter.

Selain itu, kerajaan turut mengekalkan bantuan tunai tambahan BUDI Diesel sebanyak RM100 bagi April, menjadikan jumlah keseluruhan RM300 kepada penerima BUDI Individu dan BUDI Agri-Komoditi.

Harga subsidi RON95 di bawah Program Budi MADANI (BUDI95) kekal pada RM1.99 seliter, manakala harga runcit tanpa subsidi meningkat 40 sen kepada RM4.27 seliter.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.