Bank Dunia: Subsidi BUDI95 tepat, bantu tangani tekanan fiskal negara

9 Apr 2026, 8:03 AM
Bank Dunia: Subsidi BUDI95 tepat, bantu tangani tekanan fiskal negara

KUALA LUMPUR, 9 APRIL: Pembaharuan subsidi bahan api bersasar Malaysia mengikut inisiatif BUDI MADANI RON95 (BUDI95) adalah langkah tepat dalam situasi konflik Asia Barat apabila kerajaan berusaha mengurus tekanan fiskal dengan lebih baik.

Pada masa sama kerajaan juga dapat memastikan subsidi diagihkan secara lebih cekap.

Ketua Ahli Ekonomi Bank Dunia bagi Malaysia, Dr Apurva Sanghi berkata pelarasan had kuota bahan api menunjukkan pendekatan yang lebih bersasar seterusnya membantu memastikan subsidi diagihkan dengan lebih adil merentas kumpulan pendapatan berbeza.

“Subsidi bahan api di Malaysia bersifat regresif, dengan kumpulan T10 dan T20 mendapat manfaat yang jauh lebih besar berbanding kumpulan lain. Jika lihat yang paling banyak menggunakan bahan api ini adalah segmen T10 dan T20, mereka didapati menggunakan lebih daripada 200 liter.

“Jadi apabila kuota diselaraskan sementara kepada 200 liter, saya berpandangan langkah itu adalah wajar dari segi untuk menangani sifat regresif tersebut kerana mereka membayar lebih. Usaha itu sememangnya tindakan ke arah yang betul,” katanya di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian kepada pemberita pada taklimat mengenai bahagian satu laporan “Malaysia Economic Monitor” (MEM) April 2026 oleh Kumpulan Bank Dunia yang bertajuk “Raising the Ceiling, Raising the Floor, Advancing Malaysia’s Jobs and Productivity Agenda”.

Bermula 1 April, 2026, had kuota bulanan individu bagi pembelian petrol BUDI95 akan diselaraskan sementara kepada 200 liter sebulan daripada 300 liter sebelum ini susulan konflik berterusan di Asia Barat.

Harga RON95 bersubsidi kekal pada RM1.99 seliter.

Sanghi berkata langkah bagi BUDI95 itu adalah bersifat jangka masa pendek namun jika keadaan fiskal semakin merosot, pelarasan lanjut mungkin diperlukan.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.