36 kertas siasatan dibuka, 22 individu dipanggil bantu kes berita palsu

8 Apr 2026, 2:43 AM
36 kertas siasatan dibuka, 22 individu dipanggil bantu kes berita palsu
36 kertas siasatan dibuka, 22 individu dipanggil bantu kes berita palsu

SHAH ALAM, 8 APRIL: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) membuka 36 kertas siasatan berkaitan penyebaran berita palsu berhubung krisis tenaga global di media sosial dan platform digital.

SKMM dalam kenyataan berkata, 22 individu dari pelbagai lokasi di seluruh negara dipanggil bagi dirakam percakapan untuk membantu siasatan berkenaan.

"Enam kertas siasatan sudah dirujuk kepada Timbalan Pendakwa Raya untuk penelitian dan tindakan selanjutnya," menurut kenyataan SKMM hari ini.

Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara sehingga dua tahun, atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

SKMM menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi terhadap penyalahgunaan media sosial dan platform digital yang bertujuan mengelirukan masyarakat melalui penyebaran maklumat palsu.

"Tindakan tegas akan dikenakan terhadap individu yang melanggar undang-undang sedia ada," menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, orang ramai diingatkan supaya menggunakan kemudahan komunikasi secara bertanggungjawab serta tidak memuat naik atau menyebarkan kandungan yang boleh menjejaskan keharmonian masyarakat dan ketenteraman awam.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.