KUALA LUMPUR, 8 APRIL: Iran akan menghentikan operasi pertahanannya jika Amerika Syarikat (AS) tidak lagi menyerang negara itu, kata Menteri Luar Abbas Araghchi.
“Jika serangan terhadap Iran ditamatkan, angkatan tentera kami menghentikan operasi pertahanan mereka.
"Untuk tempoh dua minggu, laluan selamat melintasi Selat Hormuz akan dibolehkan menerusi penyelarasan dengan tentera Iran dengan pertimbangan sewajarnya mengenai had teknikal," kata Araghchi di platform media sosial X pada Rabu, dalam kenyataan yang dikeluarkan bagi pihak Majlis Keselamatan Negara Tertinggi Iran.
Kenyataan itu susulan permintaan AS untuk rundingan berdasarkan cadangan 15 perkara serta pengumuman Presiden Donald Trump mengenai penerimaan rangka kerja umum cadangan 10 perkara Iran sebagai asas untuk rundingan.
Araghchi turut menzahirkan terima kasih dan penghargaan kepada Perdana Menteri Pakistan Shehbaz Sharif dan Panglima Tentera Darat Marshal Asim Munir atas peranan mereka dalam menamatkan perang di rantau itu.
Trump terdahulu mengumumkan penggantungan dua minggu tindakan ketenteraan terhadap Iran berikutan perbincangan dengan pemimpin Pakistan serta bersetuju untuk menghentikan serangan yang dirancang, bergantung pada Iran membuka semula Selat Hormuz “sepenuhnya, serta-merta dan dengan selamat”.
“Saya bersetuju untuk menangguhkan pengeboman dan serangan Iran untuk tempoh dua minggu. "Ini akan menjadi gencatan senjata bagi kedua-dua belah," menurut hantaran di platform Truth Social beliau.
Operasi ketenteraan yang semakin meningkat antara AS, Israel dan Iran yang meletus pada 28 Februari selepas Washington dan Tel Aviv melancarkan serangan ke atas Iran, telah mendorong rantau Asia Barat ke dalam konflik yang lebih luas, mengganggu pasaran global dan penerbangan, serta menyebabkan kesan meluas ke atas ekonomi.











