WASHINGTON, 8 APRIL: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump mengumumkan penangguhan serangan ketenteraan terhadap Iran selama dua minggu.
Dalam satu kenyataan yang dimuatnaik Rumah Putih di platform X pagi tadi, beliau berkata gencatan senjata atau penangguhkan serangan itu tertakluk kepada persetujuan negara itu untuk membuka Selat Hormuz secara sepenuhnya, serta-merta dan selamat.
Beliau berkata, keputusan yang dicapai itu susulan perbincangan dengan Perdana Menteri Pakistan, Shehbaz Sharif termasuk Panglima Tentera negara itu, Asim Munir, yang memohon agar tindakan ketenteraan ditangguhkan.
Jelasnya, penangguhan itu akan menjadi gencatan senjata dua hala, sekali gus membuka ruang kepada rundingan lanjut antara AS dan Iran.
"Saya bersetuju untuk menangguhkan pengeboman serta serangan terhadap Iran bagi tempoh dua minggu.
"Ini akan menjadi satu gencatan senjata dua hala. Sebab tindakan ini diambil adalah kerana kita telah pun mencapai dan melebihi semua objektif ketenteraan.
"Kini berada pada tahap yang sangat hampir untuk mencapai satu perjanjian muktamad berkaitan keamanan jangka panjang dengan Iran, serta keamanan di Asia Barat," katanya, lapor Berita Harian.
Menurut Trump, pihaknya turut menerima satu cadangan mengandungi 10 perkara daripada Iran yang beliau percaya boleh menjadi asas pelaksanaan rundingan antara kedua-dua negara.
"Hampir semua perkara yang menjadi pertikaian sebelum ini telah dipersetujui antara AS dan Iran, namun tempoh dua minggu ini akan membolehkan perjanjian tersebut dimuktamadkan dan dimeterai.
"Bagi pihak AS, sebagai Presiden dan juga mewakili negara di Asia Barat adalah satu penghormatan untuk melihat isu jangka panjang ini hampir mencapai penyelesaian. Terima kasih atas perhatian anda terhadap perkara ini," katanya.
Semalam, Trump memberi amaran akan mengarahkan serangan besar-besaran ke atas loji janakuasa awam dan jambatan di Iran, sekiranya Tehran gagal mencapai perjanjian bagi menamatkan konflik yang berlarutan selama lima minggu.










