Rahsia skor cemerlang Bahasa Melayu

7 Apr 2026, 9:29 AM
Rahsia skor cemerlang Bahasa Melayu

Bahasa Melayu merupakan mata pelajaran wajib lulus Sijil Pelajaran Malaysia (SPM). Untuk memperoleh keputusan cemerlang dalam mata pelajaran ini, murid-murid perlu menguasai kemahiran mendengar, bertutur, membaca, dan menulis.

Murid juga perlu menguasai aspek bahasa agar penulisan jawapan lebih gramatis dan kesilapan bahasa dapat dikurangnya.

Jurulatih Utama Negeri Selangor, Rohaiza Omar berkongsi cabaran, strategi pembelajaran dan teknik menjawab peperiksaan berkenaan.

Beliau yang juga guru Bahasa Melayu Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Serdang berkongsi rahsia skor cemerlang Bahasa Melayu.Berikut tips berguna bagi persediaan calon SPM

1.Cara paling berkesan menguasai rumusan dan pemahaman

Penguasaan menulis rumusan bermula dengan latihan mengenal pasti tema dan tugasan atau fokus yang terdapat dalam pelbagai bahan sama ada petikan, grafik, dialog atau bahan sastera.

Perkara yang sama berlaku terhadap soalan pemahaman yang berbentuk pemindahan maklumat.

Murid-murid perlu membaca pelbagai bahan yang berbentuk petikan umum atau sastera dan mengenal pasti isi yang terdapat dalam bahan dengan tepat.

Oleh sebab itu, murid-murid perlu menguasai kemahiran membaca supaya mereka dapat mengasingkan isi utama mengikut tugasan dengan isi sampingan, contoh dan huraian.

2.Peranan bahan bacaan ringan

Membaca berita, rencana dan cerpen membantu membina kosa kata, menulis ayat matang dan menjana idea yang tepat.

Namun, bacaan mesti dilakukan secara aktif dan bermakna. Gunakanlah teknik bacaan seperti KWLH, CHATT, REAP, QUACK dan lain-lain supaya murid-murid dapat memahami maklumat yang dibaca dengan lebih baik.

KWLH

K (Know): Catat apa yang sudah diketahui mengenai tajuk sebelum membaca

⁠W (Want): Catat apa yang ingin diketahui atau soalan yang ingin dijawab

⁠L (Learned): Catat maklumat yang telah dipelajari selepas membaca

⁠H (How): Cara atau sumber untuk mendapatkan maklumat tambahan (bacaan seterusnya)

CHATT

C (Choose): Pilih tajuk atau bahan bacaan

H (Highlight): Gariskan isi penting, kata kunci, atau ayat topik

A (Answer): Jawab soalan yang terdapat dalam teks atau soalan yang disediakan guru

T (Test): Uji kefahaman diri sendiri dengan cuba ingat kembali maklumat tanpa melihat teks

T (Teach): Cuba ajar atau jelaskan kembali maklumat yang difahami kepada rakan atau diri sendiri (teknik mengajar)

REAP

R (Read): Baca teks dengan teliti

⁠E (Encode): Ubah maklumat daripada teks ke dalam ayat/perkataan sendiri (paraphrase)

A (Annotate): Buat catatan (anotasi) penting seperti nota kaki atau nota sisi untuk menyokong idea

P (Ponder): Fikir dan renung kefahaman mendalam mengenai teks, termasuk pendirian pembaca (setuju/tidak setuju)

QUACK

Q (Question mark): Letakkan tanda '?' pada perkataan atau idea yang kabur/tidak difahami

U (Underline): Gariskan takrif atau definisi penting

A (Asterisk): Letakkan tanda (*) pada maklumat atau idea yang penting/menarik

C (Circle): Bulatkan fakta penting atau kata kunci utama

⁠K (Keyword): Tulis huruf 'K' di sebelah kata kunci (selalunya tebal/condong)

3.Pendahuluan dan penutup yang menarik

Pendahuluan yang baik mampu mencerminkan kematangan calon. Namun jangan lupa, dalam pendahuluan, masukkan tema dan tugasan.

Elakkan menulis isi dalam pendahuluan. Terdapat pelbagai cara untuk menulis pendahuluan yang menarik seperti pendahuluan berbentuk fakta, peribahasa, lirik lagu, dan kata-kata tokoh.

Dalam Kit Celik Mengarang Selangor (KCMS), murid dilatih untuk menulis pendahuluan menggunakan akronim THINK - T (Tema), H (Huraian), I (Isu), N (Negatif/Natijah) dan K (Kehendak soalan).

Penutup yang bernas menzahirkan keupayaan membuat kesimpulan, cadangan dan harapan atau singkatannya ialah KECAHA - Ke (Kesimpulan), Ca (cadangan) dan Ha (harapan).

Jangan lupa masukkanlah ungkapan menarik bukannya kata-kata bombastik agar pendahuluan dan kesimpulan yang kalian tulis menarik.

3.Mengolah isi dengan gaya lebih meyakinkan

Kematangan penulisan terletak pada keupayaan mempelbagaikan ayat, menghuraikan isi secara mendalam dan menyokong hujah dengan contoh relevan, bukan sekadar menyenaraikan fakta.

4.Latihan mingguan paling efektif

Latihan yang konsisten, berfokus dan disertai refleksi kendiri lebih berkesan berbanding latihan berlebihan. Murid perlu sedar akan kelemahan sendiri dan memperbaiknya secara berperingkat.

Penggunaan modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) dan latih tubi soalan-soalan SPM serta percubaan sangat membantu murid-murid untuk memperoleh keputusan yang cemerlang dalam SPM.

Buku modul Program Tuisyen Rakyat Selangor (PTRS) untuk calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) di kalangan kakitangan MBSJ sempena Majlis Pelancaran Kelas PTRS Yayasan MBI bersama Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) di Kompleks 3C Jabatan Pembangunan Masyarakat MBSJ pada 15 Oktober 2025. Foto HANISAH OTHMAN/MEDIA SELANGOR

Rahsia untuk mahir Bahasa Melayu

  • Murid-murid perlu menguasai kemahiran mendengar dan bertutur, membaca dan menulis secara konsisten kerana konsep belajar bukan tentang berapa banyak yang anda hafal tetapi berapa banyak yang anda fahami

  • Penguasaan kemahiran membaca melalui penggunaan pelbagai teknik bacaan untuk mengenal pasti idea utama, memahami kehendak soalan, menilai isi, dan membina hujah yang mantap semasa ujian bertutur

  • Dari segi penulisan karangan, penggunaan KCMS sangat membantu murid-murid kerana kit ini menyediakan panduan membina idea, menyusun perenggan, memilih penanda wacana yang tepat dan menghasilkan karangan yang koheren serta menarik

  • Untuk ketepatan bahasa, Kit Celik Bahasa Selangor dapat membantu murid-murid memahami tatabahasa dengan lebih sistematik termasuklah aspek morfologi, sintaksis, penyuntingan dan peribahasa

  • Latihan berterusan, pembetulan kesalahan, maklum balas guru serta keyakinan diri akan membentuk penguasaan mata pelajaran Bahasa Melayu yang kukuh, seterusnya memastikan kejayaan dalam peperiksaan SPM

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.