SHAH ALAM, 7 APRIL: Seorang kakitangan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) di Tanjung Malim ditemukan maut selepas dipercayai terperangkap di dalam sebuah stor berkunci di fasiliti sukan universiti itu, awal pagi tadi.
Mangsa berusia 53 tahun ditemukan dalam stor peralatan pembersihan di UPSI Sport Bowl.
Penolong Pengarah Bahagian Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Sabarodzi Nor Ahmad berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 1.57 pagi.
Menurutnya, panggilan tersebut dibuat bagi membantu pihak polis membuka pintu bilik stor yang berkunci.
“Satu pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tanjung Malim dikejarkan ke lokasi yang terletak kira-kira sembilan kilometer dari balai dan tiba pada jam 2.07 pagi,” katanya dalam kenyataan hari ini, lapor Berita Harian.
Beliau berkata, setibanya di lokasi, pintu stor berkenaan didapati sudah dibuka polis bantuan UPSI.
“Anggota bomba kemudiannya menjalankan operasi pemantauan di lokasi,” katanya.
Sabarodzi memaklumkan mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pegawai perubatan Kementerian Kesihatan Malaysia.
“Mayat diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut. Operasi tamat sepenuhnya pada jam 2.36 pagi,” katanya lagi.
Dalam operasi tersebut, sembilan anggota terlibat bersama sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan unit Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS).








