Selangor laksana BDR mulai 15 April, jimat kos dan bahan api

6 Apr 2026, 9:19 AM
Selangor laksana BDR mulai 15 April, jimat kos dan bahan api
Selangor laksana BDR mulai 15 April, jimat kos dan bahan api

SHAH ALAM, 6 APRIL: Selangor akan melaksanakan dasar bekerja dari rumah (BDR) bermula 15 April ini sebagai langkah penjimatan susulan krisis tenaga global.

Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari berkata pelaksanaan itu melibatkan penjawat awam negeri setiap Selasa hingga Khamis pada setiap minggu.

Menurutnya, dasar tersebut akan disemak secara bulanan mengikut keadaan, keperluan serta keberkesanan selain menggalakkan sektor swasta melaksanakan BDR mengikut kesesuaian masing-masing.

“Sektor swasta di Selangor turut digalakkan untuk melaksanakan dasar BDR melihat kepada kesesuaian industri dan Kerajaan Negeri bersedia membantu dari segi adaptasi teknologi digital,” katanya menerusi kenyataan, hari ini.

Pada 1 April lalu, kerajaan bersetuju melaksanakan dasar BDR mulai 15 April ini membabitkan kementerian, agensi serta badan berkanun dan syarikat berkaitan kerajaan.

Pelaksanaan dasar tersebut hanya membabitkan kakitangan sektor awam di Kuala Lumpur, Putrajaya, Selangor, selain semua ibu negeri dengan jarak perjalanan sehala dari pejabat ke rumah melebihi lapan kilometer.

Pelaksanaan BDR bagaimanapun dikecualikan untuk tiga sektor membabitkan keselamatan dan pertahanan, kesihatan serta pendidikan.

Menurut Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA), Tan Sri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz, dasar BDR hanya ditetapkan pada Selasa hingga Khamis secara sepenuh hari.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.