SHAH ALAM, 6 APR: Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor menahan operasi kelengkapan sebuah loji bancuhan konkrit di Bandar Baru Bangi selepas dikesan mencemarkan udara dan air.
Dalam kenyataan, JAS memaklumkan tindakan itu diambil susulan siasatan aduan di tapak pembinaan rumah bertingkat di Seksyen 1 pada 2 April lalu.
"Siasatan mendapati air cucian simen mengalir ke longkang awam, selain alat kawalan pencemaran udara jenis bag filter berada dalam keadaan tidak memuaskan.
"Sehubungan itu, tindakan Penahanan Operasi Kelengkapan (POK) dikenakan terhadap inlet dan paip cucian air di bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974," katanya.
JAS turut mengeluarkan notis arahan supaya premis menjalankan kerja penyelenggaraan kolam cucian serta menukar bag filter dengan segera bagi mengelakkan pencemaran habuk.
Pemantauan berterusan akan dilakukan bagi memastikan premis mematuhi peraturan ditetapkan, dan tindakan undang-undang boleh diambil sekiranya berlaku ketidakpatuhan.








