SHAH ALAM, 5 APRIL: Gelanggang futsal baharu di Dataran Anak Muda, PJS 1 dijangka memberi manfaat kepada hampir 90,000 penduduk, sekali gus menggalakkan gaya hidup sihat dalam komuniti setempat.
Datuk Bandar Petaling Jaya Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, kemudahan itu turut berfungsi sebagai ruang riadah yang selamat dan berkualiti untuk kegunaan penduduk.
Menurutnya, projek bernilai RM790,000 yang siap pada Disember 2025 itu dilaksanakan hasil komitmen berterusan selama lima tahun oleh Ahli Majlis Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) Zon 17, Norah Mansor bagi memenuhi keperluan penduduk setempat.
“Gelanggang futsal ini membuka lebih banyak peluang kepada masyarakat untuk bersukan, selain menggalakkan interaksi sosial yang lebih erat dalam komuniti.
“Orang ramai juga diingatkan agar menjaga kemudahan awam ini dengan baik serta mengelakkan sebarang aktiviti vandalisme yang boleh menjejaskan manfaat kepada pengguna lain,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kemudahan berkenaan berpotensi menjadi lokasi penganjuran pelbagai program sukan dan aktiviti komuniti secara konsisten.
Dalam masa sama, beliau berharap Dataran Anak Muda yang dinaik taraf dapat berfungsi sebagai hab komuniti yang lebih aktif dan inklusif.
“Dengan adanya kemudahan ini, kita mahu melihat lebih ramai penduduk memanfaatkan ruang yang disediakan sekali gus meningkatkan kualiti hidup masyarakat setempat,” katanya.
Sebelum itu, Mohamad Zahri merasmikan gelanggang futsal itu hari ini yang turut dihadiri Ahli Majlis MBPJ serta pegawai kanan pihak berkuasa tempatan berkenaan.








