Destinasi dalam negara jadi pilihan pengunjung di MATTA Fair

5 Apr 2026, 4:35 AM
Destinasi dalam negara jadi pilihan pengunjung di MATTA Fair

SHAH ALAM, 5 APR: Pelancongan domestik menjadi pilihan pengunjung Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) susulan ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik Asia Barat.

Tinjauan mendapati segelintir pengunjung lebih berhati-hati dalam merancang perjalanan ke luar negara, sebaliknya melihat Sabah dan Sarawak sebagai antara destinasi utama.

Seorang pekerja swasta, Carmen, 25, berkata beliau hadir ke pameran itu bagi membandingkan harga pakej dan destinasi percutian, khususnya dalam negara.

Pekerja swasta, Carmen, 25. Foto TEAM MEDIA SELANGOR

“Kalau ada peluang, saya nak pergi Sabah atau Sarawak sebab saya dengar Semporna, Sabah sangat cantik,” katanya.

Menurut Carmen, pakej pelancongan domestik tahun ini dilihat lebih menarik dengan pelbagai tawaran daripada agensi tempatan.

Dalam masa sama, Muhammad Hisyamuddin Shaaban, 32, dari Putrajaya berkata beliau masih merancang perjalanan ke luar negara, namun mengambil pendekatan membuat tinjauan terlebih dahulu.

“Saya datang untuk melihat harga kerana ada rancangan ke Australia, tetapi keadaan global sekarang memang beri kesan kepada perancangan,” kata eksekutif perniagaan itu kepada Media Selangor.

Eksekutif Perniagaan, Muhammad Hisyamuddin Shaaban, 32. Foto TEAM MEDIA SELANGOR

Katanya, konflik di Asia Barat turut mempengaruhi keputusan pelancong, termasuk nasihat supaya mengelakkan perjalanan ke kawasan berisiko.

Penganjuran Pameran MATTA kali ini dilihat lebih berfungsi sebagai platform mendapatkan maklumat dan membuat perbandingan sebelum membuat keputusan, berbanding terus menempah pakej.

Perkembangan itu selari dengan situasi global semasa yang memberi tekanan kepada pasaran minyak dan rantaian bekalan, sekali gus mempengaruhi kos perjalanan dan sikap pengguna.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.