Krisis global ubah trend pelancongan, Asia kini jadi tumpuan

5 Apr 2026, 9:00 AM
Krisis global ubah trend pelancongan, Asia kini jadi tumpuan

SHAH ALAM, 5 APR: Tumpuan industri pelancongan kini beralih ke destinasi Asia dan Asia Tenggara susulan penyusutan permintaan ke Eropah dan Timur Tengah akibat kesan konflik Asia Barat terhadap ekonomi dan perjalanan antarabangsa.

Tinjauan Media Selangor di Pameran Persatuan Ejen-ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA Fair) semalam mendapati agensi pelancongan mengalihkan tumpuan bagi mengekalkan kestabilan perniagaan.

Wakil jualan Malaysia Airline, Allif Imran berkata pihaknya tidak lagi bergantung sepenuhnya kepada pasaran Eropah, sebaliknya memberi fokus kepada negara Asia.

Wakil jualan Malaysia Airline, Allif Imran

“Kami lebih tertumpu kepada destinasi seperti Jepun, Korea dan negara yang mempunyai penerbangan terus,” katanya.

Menurutnya, kebanyakan agensi pelancongan di MATTA Fair tahun ini juga tidak menumpukan kepada negara berisiko.

Dalam masa sama, beliau berkata jumlah pengunjung masih ramai, namun permintaan terhadap pelancongan domestik dilihat meningkat.

Sementara itu, Ketua Pemasaran GD Destination Andy Soon berkata permintaan ke Eropah sedikit terjejas, dengan pelanggan kini cenderung memilih tempoh percutian yang lebih singkat antara lima hingga tujuh hari.

Ketua Pemasaran GD Destination Andy Soon

Beliau turut memaklumkan trend pelancongan penerbangan kini beralih kepada pakej pelayaran.

Pakar Pembangunan Perniagaan (Tiket) In Saff Travel Nadiah Nordin berkata permintaan ke Timur Tengah semakin berkurangan susulan kebimbangan terhadap situasi semasa.

Bagaimanapun, katanya masih terdapat pelanggan yang memilih destinasi berhampiran seperti Istanbul.

Pakar Pembangunan Perniagaan (Tiket) In Saff Travel Nadiah Nordin

Menurutnya, kebimbangan utama pelanggan ketika ini lebih kepada risiko pembatalan penerbangan.

“Selepas insiden rakyat Malaysia terkandas di Mekah sebelum ini, pelanggan mula bertanya mengenai jaminan sekiranya perkara sama berulang,” katanya.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.