SUBANG JAYA, 5 APR: Kepakaran penyelidik dan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu meningkatkan kecekapan sistem akuakultur di Kebun Komuniti Flat Ikan, Sri Serdang sekali gus mengurangkan kos operasi penduduk.
Pensyarah Kanan Kejuruteraan Pengairan dan Sumber Air berkata sebelum kolam ikan berskala besar dibina, pihaknya memasang sistem penuaian air hujan untuk menjimatkan penggunaan air terawat.
Menurut Dr Muhammad Adib Mohd Nasir selepas beberapa kajian, sistem itu dinaik taraf menjadi Sistem Kitar Semula Akuakultur (RAS) yang lebih mesra pengguna.
"Kolam kecil untuk ikan keli mudah kotor dan sukar diselenggara. Kolam besar tilapia pula menyebabkan kematian ikan 500–600 ekor setiap kitaran. Dengan sistem RAS, kadar kematian hampir sifar," katanya.

Sistem RAS menapis dan mengitar semula air dalam tangki utama, memudahkan warga emas mengurus kolam, dan mengurangkan keperluan pemeriksaan air.
Mengulas berkaitan ikan tilapia merah menjadi pilihan berbanding keli, Dr Muhammad Adib berkata ia lebih tahan lasak, bersih dan mendapat permintaan tinggi.
UPM turut melibatkan pelajar Fakulti Perubatan Veterinar untuk memantau kualiti air dan Fakulti Kejuruteraan bagi menambah baik struktur kolam.
Dr Muhammad Adib berkata pemantauan berterusan dilakukan dan laporan perkembangan disediakan kepada pihak fakulti bagi memastikan sistem kekal mampan dengan kos minimum.
"Akuakultur menggunakan air yang banyak. Jika reka bentuk tidak tepat, kos boleh melebihi hasil. Jadi kita pastikan sistem ini hampir percuma dari segi penyelenggaraan kerana menggunakan air kitar semula dan air hujan.
"Komuniti di sini sangat menyokong penyelidikan. Mereka bukan sahaja faham apa yang diterangkan, malah mampu menambah baik berdasarkan pengalaman sendiri," katanya.

Beliau berharap kerjasama itu diteruskan dan sistem sedia ada dapat dinaik taraf pada masa depan supaya lebih mudah diurus komuniti, selain menjadi model kepada kebun bandar lain di sekitar Sri Serdang.







