SUBANG JAYA, 5 APR: Ahli Dewan Negeri (ADUN) Seri Serdang memuji inisiatif warga Flat Ikan yang mengusahakan kebun komuniti yang disifatkan sebagai paling berjaya dan menjadi contoh model pertanian bandar di kawasan padat.
Menurut Abbas Azmi, projek Kebun Komuniti Flat Ikan bukanlah inisiatif baharu, sebaliknya sudah diusahakan lebih 10 tahun lalu hasil usaha penduduk yang membersihkan kawasan tapak pelupusan sampah haram.
"Kebun komuniti ini 100 peratus digerakkan penduduk Flat Ikan sendiri, mereka sangat aktif dalam bidang pertanian bandar.
"Mereka bukan sahaja menerima sokongan kita, malah turut mendapat bantuan daripada jabatan pertanian, agensi berkaitan serta institusi pengajian tinggi," katanya ketika dihubungi Media Selangor.

Beliau berkata, kejayaan Flat Ikan turut diiktiraf menerusi pelbagai anugerah di peringkat persatuan dan negeri, hasil disiplin serta pengurusan tersusun yang diamalkan komuniti terbabit.
"Saya sudah lama rapat dengan komuniti ini sejak menjadi ahli majlis lagi. Antara sumbangan yang saya berikan termasuk bantuan anak benih sayur-sayuran dan terbaharu pemberian kolam ikan bernilai kira-kira RM5,000.
"Kolam itu menempatkan sehingga 500 ekor ikan tilapia merah. Harga pasaran ikan ini sekitar RM12 hingga RM14 sekilogram (per kg), namun komuniti menjualnya pada harga RM8 hingga RM9 per kg kepada penduduk setempat," katanya.

Hasil jualan berkenaan digunakan semula untuk membeli benih baharu selain mengusahakan pembenihan sendiri menerusi kolam kecil yang disediakan.
Beliau menegaskan, kekuatan utama Flat Ikan adalah sikap berdikari tanpa terlalu bergantung kepada bantuan kerajaan.
"Mereka ada buku log, buku akaun dan jadual kerja. Disiplin dan pengurusan yang baik inilah yang menjadi kunci kejayaan kebun komuniti ini," katanya.
Menurutnya, kebun komuniti di kawasan padat seperti Seri Serdang memberi tiga manfaat utama iaitu menjimatkan kos sara hidup, meningkatkan kesihatan dan mengeratkan hubungan antara penduduk.
Sebagai langkah jangka panjang, beliau merancang mempromosikan penyertaan masyarakat melalui media sosial dan kerjasama dengan agensi untuk latihan dan teknologi terkini.
Beliau berkata, pemantauan berterusan pihak berkuasa tempatan khususnya Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) juga penting bagi memastikan projek seumpama itu kekal mampan dan terurus.
"Saya sangat berpuas hati dengan pengurusan Flat Ikan. Ia membuktikan apabila komuniti bersatu dan berdisiplin, projek seperti ini mampu bertahan lama dan memberi manfaat besar kepada penduduk," katanya.








