Komuniti Flat Ikan Sri Serdang ubah semak samun jadi kebun hijau komuniti

5 Apr 2026, 3:00 AM
Komuniti Flat Ikan Sri Serdang ubah semak samun jadi kebun hijau komuniti
Komuniti Flat Ikan Sri Serdang ubah semak samun jadi kebun hijau komuniti
Komuniti Flat Ikan Sri Serdang ubah semak samun jadi kebun hijau komuniti

SUBANG JAYA, 5 APR: Kawasan yang dahulunya dipenuhi sampah dan semak samun kini berubah menjadi kebun komuniti yang subur, lengkap dengan pelbagai tanaman serta ternakan ikan.

Transformasi membanggakan Kebun Komuniti Flat Ikan, Sri Serdang itu diusahakan penduduk sejak lebih sedekad lalu, yang menjadi contoh kelestarian komuniti di kawasan perumahan bertingkat.

Selain menjadi sumber makanan segar, kebun berkenaan turut berfungsi sebagai ruang pendidikan kepada pelajar sekolah dan mahasiswa untuk mempelajari kaedah pertanian bandar secara lestari.

Pengerusi Badan Pengurusan Bersama (JMB) Flat Ikan, Susan Chong Siew Chin, 65, berkata idea kebun bandar itu tercetus pada 2018 apabila Majlis Bandaraya Subang Jaya (MBSJ) mencadangkan komuniti mewujudkan kebun bandar seiring penubuhan JMB.

"Kami mencari kawasan sesuai dan sepakat memilih tapak ini yang ketika itu dipenuhi sampah dan perosak seperti tikus. Hampir setahun kami bergotong-royong membersihkannya.

"Penduduk termasuk kanak-kanak turut membantu. Pada awalnya kami tidak pasti tanaman yang sesuai. Seorang penduduk mencadangkan keledek, walaupun hasil awalnya sering dimakan tikus," katanya kepada Media Selangor.

Susan Chong Siew Chin, 65,

Menurutnya, usaha itu terus berkembang selepas menerima bantuan pelbagai pihak termasuk Ahli Dewan Negeri Seri Serdang, Abbas Azmi serta institusi pengajian tinggi seperti Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

Seorang penduduk, A Chinnatamby, 67, yang menetap di situ lebih 30 tahun berkata kawasan berkenaan dahulunya seperti hutan kecil dan sering menjadi lokasi pembuangan sampah dari tingkat atas.

"Kami memohon sedikit peruntukan daripada MBSJ untuk membina pagar. Syukur permohonan diluluskan dan kerja dilakukan secara berperingkat hasil kerjasama penduduk.

"Lama-kelamaan pihak luar termasuk UPM dan UKM turut membantu dengan kepakaran serta geran bagi menyediakan sistem lebih moden," katanya.

Chinnatamby, 67,

Kini, kebun berkenaan menempatkan lebih 20 jenis tanaman seperti terung, kacang panjang, bendi, keledek, kucai, labu air, salad, cendawan, betik serta pelbagai herba termasuk mahkota dewa, hempedu bumi dan bawang dayak.

Selain tanaman di tanah, komuniti turut mengusahakan projek cendawan, kompos dan kolam ternakan ikan tilapia merah yang ditaja ADN Seri Serdang serta UPM.

Kebun itu diuruskan antara 13 hingga 15 sukarelawan termasuk lima hingga enam warga emas, manakala golongan muda aktif membantu terutama pada hujung minggu.

Menariknya, pengurusan kebun ini menggunakan sistem penuaian air hujan (rainwater harvesting) yang disediakan UPM bagi menjimatkan penggunaan air.

Penduduk bersama-sama membersihkan kawasan tanaman sekitar kebun komuniti di Pangsapuri Taman Sri Serdang, Subang Jaya pada 4 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Selain itu, input organik seperti ekstrak neem dan cuka kayu digunakan bagi mengawal perosak dengan sokongan Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI).

Tambah Chinnatamby, kira-kira 80 penduduk menyertai kumpulan WhatsApp untuk dimaklumkan mengenai hasil tuaian harian yang dijual.

"Hari ini petik, hari ini jual. Kami pastikan sayuran segar dan dijual lebih murah berbanding pasaran. Hasil jualan menampung kos baja, dan jika ada lebihan, kami belanja makan sukarelawan," katanya.

Ikan tilapia dijual pada harga RM8 hingga RM10 sekilogram, manakala sayuran serendah RM5 sebungkus, lebih rendah berbanding harga pasaran.

Pensyarah kanan Universiti Putra Malaysia Dr. Muhammad Adib Mohd Nasir bersama penduduk melihat kolam ikan di Pangsapuri Taman Sri Serdang, Subang Jaya pada 4 Februari 2026. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR

Menurut Susan, sejak 2020 MBSJ turut membimbing komuniti dalam projek pengkomposan sisa makanan penduduk yang diproses menjadi baja organik.

Kebun itu juga pernah memenangi pertandingan kebun peringkat negeri anjuran Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS) selain menerima kunjungan pelbagai institusi.

Bagi Norela Omar, 68, kebun komuniti itu bukan sekadar sumber makanan segar, malah menjadi ruang sosial yang mengeratkan perpaduan pelbagai kaum.

"Setiap pagi selepas solat Subuh kami datang berkebun. Badan sihat, hati pun gembira. Walaupun tinggal di rumah bertingkat, kami tetap dapat menikmati udara segar dan menjimatkan perbelanjaan dapur.

"Kami bukan mahu keuntungan besar, tetapi ingin menyediakan makanan sihat dan kurang bahan kimia untuk penduduk setempat," katanya.

Tambahnya, pelanggan yang membeli hasil tanaman bukan sahaja terdiri daripada penduduk Flat Ikan, malah orang luar yang melalui kawasan tersebut turut singgah mendapatkan bekalan segar.

Apa reaksi anda?

Media Selangor
Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd (MSSB), anak syarikat Menteri Besar Selangor Diperbadankan (MBI), merupakan agensi media rasmi kerajaan Negeri Selangor. Selain portal berita Media Selangor (sebelum ini dikenali sebagai Selangorkini), Media Selangor turut menerbitkan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil, dan Inggeris.